Empat ditahan dalam operasi dua jam - Utusan Malaysia

Empat ditahan dalam operasi dua jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Empat lelaki ditahan dalam Op Bersepadu Motosikal dan Cegah Jenayah Polis Kuala Lumpur yang diadakan di 10 lokasi berasingan di sini sebentar tadi.

Dalam operasi yang berjalan selama dua jam setengah bermula pukul 5 petang itu, empat lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 43 tahun tersebut ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk memiliki motosikal curi serta membawa dadah jenis methamphetamine.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi pada kali ini menumpukan kepada penunggang motosikal ekoran kadar pelakuan jenayah melibatkan kenderaan tersebut adalah tinggi di ibu negara.

“Selain itu, penunggang motosikal juga antara yang terbanyak ditimpa kemalangan, oleh itu kita ambil kesempatan operasi hari ini sebagai langkah pencegahan.

“Kita harap dengan adanya operasi seperti ini, penunggang motosikal di ibu negara lebih patuh kepada undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi di Jalan Imbi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Op Selamat 14 Zulkefly berkata, sebanyak 9,990 notis kesalahan telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya setakat ini.

“Bagi kadar kemalangan pula, kita mencatatkan penurunan sebanyak 15.7 peratus berbanding tahun lalu iaitu hanya 1,299 kes dilaporkan.

“Sepanjang sembilan hari Op Selamat 14 berlangsung sejak 29 Januari lalu, hanya dua kemalangan maut dilaporkan di Kuala Lumpur, jadi boleh dikatakan strategi yang kita gunakan pada kali ini berkesan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN