MADRID 26 Feb. – Santiago Solari mengelak daripada menjawab tujuh soalan berhubung Gareth Balce hari ini berhubung peluang pemain kebangsaan Wales itu untuk membarisi Real Madrid bagi perlawanan menentang Barcelona dalam saingan Copa del Rey.
Real akan menentang Barca di separuh akhir kedua Khamis ini (waktu Malaysia) disusuli saingan La Liga empat hari kemudian, dengan lampu simbah kini tertumpu kepada Bale selepas menjaringkan gol ketika berdepan Levante hujung minggu lalu, yang sehingga kini masih menjadi bualan.
Solari sebaliknya enggan mengkritik mahupun membela tingkah laku Bale setelah membariskannya hanya dua kali dalam lapan perlawanan sejak pemain berusia 29 tahun itu kembali daripada kecederaan betis Januari lalu.
Pengendali Real itu diajukan soalan berhubung disiplin, komitmen dan keadaan Bale, namun tidak menjawabnya, sebaliknya dia menegaskan skuad Los Blancos kini mahu menumpukan perhatian terhadap aksi menentang Barca.
“Dengar sini, saya faham semua orang ingin mencari tumpuan dan anda perlu meletakkan fokus di tempat yang paling penting.
“Bagaimanapun, fokus kami adalah kepada apa yang kami fikir ia penting. Ia berhubung perlawanan, untuk menang esok, untuk bekerjasama, manakala tumpuan lain terpulang kepada mereka,” ujar Solari.- AFP











