Elak jadi mangsa Macau Scam - Utusan Malaysia

Elak jadi mangsa Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini saya sekali lagi berpeluang melawat ke bandar Muar untuk menyertai kempen pencegahan jenayah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF). Hubungan rapat antara MCPF Muar dengan pasukan polis serta pihak berkuasa tempatan dan orang awam membuahkan hasil yang baik apabila ramai yang datang menyokong kempen kali ini yang memberi fokus terhadap usaha membanteras gejala Macau Scam.

Sebuah papan iklan tajaan syarikat Leong Hup mengenai ancaman Macau Scam tersergam hebat berhampiran tapak pelancaran program, seolah-olah memberikan peringatan tegas kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan sindiket penipuan tersebut.

Apa yang menarik, Pen­ge­rusi MCPF Muar, Chua Teck Boon memaklumkan kepada saya, mereka yang hadir meliputi semua lapisan masyarakat termasuk pihak pengurusan bank tempatan, persatuan perniagaan, persatuan Tionghoa, badan sukarelawan, persatuan penduduk, ketua-ketua masyarakat setempat dan orang awam.

Kempen kali ini amat pen­ting kepada masyarakat serta seluruh rakyat kerana MCPF ingin menyampaikan mesej kepada semua bahawa tidak ditipu dan menjadi mangsa Macau Scam.

Macau Scam merupakan kaedah penipuan yang sangat popular dan ia dilakukan melalui panggilan telefon. Antara taktik yang sering digunakan adalah menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia atau bank komersial dan memberitahu mangsa bahawa mereka mempunyai hutang tertunggak.

Ada juga anggota sindiket yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa seperti polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta kakitangan mahkamah untuk menakut-nakutkan mangsa. Sesetengahnya pula membuat dakwaan bahawa ada anggota keluarga mangsa telah diculik manakala ada juga yang mendakwa mangsa telah terpilih memenangi hadiah cabutan bertuah.

Namun tujuan mereka adalah sama iaitu ingin memperdaya mangsa agar memindah sejumlah wang kepada akaun tertentu atau mendedah nombor pengena­lan diri (PIN) perbankan dalam talian mereka.

Ramai pihak yang percaya bahawa mangsa Macau Scam adalah mereka yang tidak berpelajaran dan kurang peka terhadap isu semasa. Walau bagaimanapun, berdasarkan laporan media dan juga statistik polis, mangsa datang dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia, pekerjaan atau tahap pendidikan mereka.

Sebagai contoh pada 26 November lalu, seorang mekanik di Kuantan dilaporkan kerugian RM20,000 apabila ditipu sindiket Macau Scam manakala seorang pekerja kedai buku mengalami kerugian berjumlah RM50,000 akibat penipuan yang sama di Bintulu pada 22 Disember lepas.

Pada 20 Disember pula, seorang warga emas dilaporkan kerugian RM6.7 juta akibat ditipu sindiket Macau Scam di Kota Bharu. Mangsa yang juga tauke getah berusia 70-an terpedaya selepas mendapat satu panggilan daripada individu yang menyamar sebagai kakitangan mahkamah memaklumkan beliau mempunyai kes mengguna identitinya bagi mendaftar satu perniagaan.

Talian kononnya disambung ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan mangsa bercakap dengan anggota polis. Individu itu memberitahu mangsa kes tersebut sedang disiasat dan perlu hadir ke mahkamah.

Kerana takut, mangsa dilapor membuat beberapa transaksi ke dalam akaun bank diberi sindiket dalam jumlah antara RM80,000 dan RM500,000 sejak Oktober lalu.

Sebenarnya Macau Scam berlaku setiap hari dan mangsa termasuk pegawai kerajaan dan suri rumah. Golongan pelajar dan berpendidikan tinggi juga kerap ditipu walaupun kebanyakan mangsa adalah mereka yang berpencen kerana mempunyai wang simpanan di dalam bank.

Apa yang membimbangkan terdapat peningkatan jumlah kes dan sindiket tersebut semakin yakin kerana mereka turut mengkaji dan memahami psikologi bakal mangsa dengan melayari akaun media sosial mereka.

Saya percaya kes penipuan melalui panggilan telefon ini akan berterusan kerana sikap kita yang tidak ambil peduli perkembangan isu semasa, termasuk taktik penipuan terbaru. Nasihat saya kepada orang ramai amat mudah. Segera tamatkan perbualan telefon jika kita dihubungi mereka yang tidak dikenali dengan pelbagai cerita mencurigakan.

Ingatlah, pihak polis dan mahkamah tidak akan mengeluarkan saman atau perintah reman terhadap orang awam melalui panggilan telefon manakala bank tidak sewenang-wenangnya boleh memberi arahan kepada pelanggan melalui telefon.

Segera hubungi pihak berkuasa termasuk polis jika anda menerima panggilan sedemikian walaupun nombor tertera serupa dengan pejabat kerajaan atau institusi kewangan.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN