COLORADO 14 Feb. – Penjenayah paling dikehendaki, Joaquin Archivaldo Guzman Loera atau lebih dikenali sebagai El Chapo yang disabit dengan jenayah pengedaran dadah besar-besaran akan dipenjarakan dalam penjara paling menggerunkan.
Agensi berita The Sun melaporkan, raja dadah itu bakal menghabiskan seluruh riwayat hidupnya dalam penjara yang dikawal selia dengan ketat dan terletak di lokasi terpencil sama seperti penjara Alcatraz.
Peguam Amerika Syarikat (AS), Richard Donogue berkata, hukuman dijatuhkan setelah proses perbicaraan berjalan selama 11 minggu.

Terletak di luar sebuah perkampungan lombong dua jam dari selatan Denver, ADX Florence menempatkan barisan penjenayah yang disifatkan paling kejam.
Bekas wadar di penjara tersebut, Burl Cain menggambarkan ADX Florence sebagai ‘penjara bagi semua penjara’.
“Jika wujud sebuah penjara yang tidak boleh dibolosi, ciri-ciri itu tepat menggambarkan Florence,” katanya.
Kebanyakan 400 tahanan di penjara tersebut diasingkan antara satu dengan lain selama 23 jam sehari.
Setiap sel dilengkapi dengan kelengkapan yang dibina daripada konkrit.
Berdasarkan laporan Amnesty International, setiap banduan dipisahkan dan adakalanya tidak dibenarkan untuk berkomunikasi antara satu sama lain.
Salah seorang bekas tahanan yang ditemu bual The Boston Globe menyifatkan penjara itu sebagai ‘neraka berteknologi tinggi yang dibina untuk membunuh deria semula jadi manusia’.
El Chapo disabitkan dengan pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan sejumlah besar dadah ke AS dan beberapa siri pembunuhan selain pernah melarikan diri dari penjara Altiplano di Mexico pada 2015.










