PARIT 7 Feb. – Dua maut sementara empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima motosikal yang disyaki berpunca daripada pergeselan salah sebuah motosikal dengan sebuah motosikal yang lain di Kilometer 40 Jalan Lumut- Ipoh awal pagi ini.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 1.10 pagi itu menyebabkan Aidil Hakimie Abd Latid,19, yang membonceng motosikal jenis Modenas Dinamik maut di tempat kejadian sementara penunggangnya iaitu abangnya, Muhamad Saufi, 22, seorang tentera, mengalami pendarahan di kepala.
Seorang lagi mangsa, Syed Muhammad Badrul Amin Syed Mohd Nasir, 23, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Changkat Melintang.
Dua penunggang motosikal lain yang berusia 20 dan 25 tahun masing-masing patah tangan kanan dan kaki kanan sementara seorang lagi berumur 21 tahun, mengalami luka-luka ringan.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kesemua motosikal terlibat datang dari arah sama iaitu dari Durian Kudung menghala ke Bota.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku apabila salah satu motosikal berkenaan telah bergesel dengan motosikal lain dan terjatuh di atas jalan.
“Oleh sebab itu, motosikal dari arah belakang tidak sempat mengelak motosikal yang terjatuh sebelum terseret di atas jalan melibatkan pelbagai arah.
“Dalam kemalangan ini, tiada saksi bebas yang melihat bagaimana dan punca kemalangan ini berlaku. Namun begitusiasatan setakat ini mendapati mereka bukan merempit malah tidak mengenali antara satu sama lain,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE










