Dua legenda Eropah hangatkan Golf Maybank - Utusan Malaysia

Dua legenda Eropah hangatkan Golf Maybank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Legenda Jelajah Eropah, Thomas Bjorn dari Denmark dan pemain Sepanyol, Miguel Angel Jimenez sudah mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Golf Maybank 2019, sekali gus merancakkan lagi saingan berkenaan di Malaysia.

Penyertaan kedua-dua pemain legenda tersebut juga seiring dengan pengumuman Maybank terhadap barisan lima pemain terbaik ASEAN bagi menyertai kejohanan diiktiraf Jelajah Asia dan Eropah itu yang bakal berlangsung di Saujana Golf (amp) Country Club di Subang dari 21 hingga 24 Mac depan.

“Penyertaan Thomas Bjorn dan Miguel Angel Jimenez adalah berita menarik untuk peminat golf dan pastinya menjadikan kejohanan itu dijangka sengit tahun ini.

“Begitu juga dengan kategori ASEAN, yang kita lihat sebagai komitmen berterusan kita dalam menyokong perkembangan bakat tempatan di rantau ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias dalam kenyataan hari ini.

Lima bintang ASEAN berkenaan ialah pemain Myanmar Ye Htet Aung, Danny Masrin (Indonesia), Johnson Poh (Singapura) serta dua pemain Filipina Angelo Que dan Juvic Pagunsan.

Kelima-lima pemain berkenaan layak beraksi pada kejohanan itu berdasarkan ranking keseluruhan mereka dalam Jelajah Asia, Jelajah Pembangunan Asia dan Ranking Rasmi Golf Dunia.

“Kami berharap peluang diberikan kepada lima pemain ASEAN ini khususnya akan membolehkan mereka meningkatkan permainan masing-masing, dan memberi inspirasi kepada lebih ramai bakat muda di rantau ini untuk menjadi terbaik di dunia. Kami berharap mereka dan seluruh pemain dapat melakukan terbaik pada kejohanan itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penyertaan Bjorn dan Jimenez akan menambahkan lagi persaingan sengit pada kejohanan berkenaan, yang turut akan disertai juara empat kali Major Champion Ernie Els dari Afrika Selatan dan ketua pasukan Piala Ryder Eropah 2020 Padraig Harrington dari Ireland.

Juara bertahan dan juga juara Order of Merit Jelajah Asia, Shubhankar Sharma dari India, pemain terbaik Malaysia, Gavin Kyle Green, Ryo Ishikawa (Jepun) dan Poom Saksansin (Thailand) adalah antara pemain terkemuka yang sudah mengesahkan penyertaan pada kejohanan berkenaan.

Penampilan mereka akan menjadikan saingan itu bertambah menarik pada edisi keempat kejohanan berkenaan yang menawarkan hadiah wang tunai AS$3 juta (kira-kira RM12.22 juta). – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN