KUALA LUMPUR 26 Feb. – Pengalaman dan fobia seorang doktor pelatih yang pertama kali memotong kaki pesakitnya sehingga mencetuskan konflik perasaan antara kewajiban profesionalisme dan rasa simpati sesama manusia yang digarap dalam bentuk cerpen adalah antara karya yang bersaing untuk memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Ke-33 esok.
Saeed Zubeir Zahari, 28, yang menghasilkan cerpen Kaki Hantu berdasarkan pengalamannya sebagai seorang doktor pelatih di Hospital Kemaman, Terengganu.
Menggunakan nama pena Saza S, beliau turut mengolah terminologi perubatan berserta jenis ubat-ubatan, istilah rawatan, peralatan pembedahan serta risiko turut membangunkan sahsiah doktor perubatan dalam cerpen itu.
Cerpen Memberikan Telinga karya Saifullizan Yahaya pula menampilkan watak lelaki tuli Trisno bekerja sebagai pembersih bangunan berhadapan dengan detik seorang perempuan mahu membunuh diri dari tingkat 31.
Walaupun dilahirkan cacat pendengaran, Trisno berupaya mengetahui segala rintihan perempuan itu menerusi isyarat gerak bibir.
Zainal Rashid Ahmad menerusi Paduka Raja & Kota Yamani pula memilih isu politik antarabangsa di Syria sebagai tema penulisan cerpennya.
Beliau menggunakan pengalaman luas sebagai wartawan yang membuat liputan di negara berkonflik untuk menceritakan bagaimana perbezaan fahaman, sengketa ekonomi dan siasah membawa kepada pertelingkahan sehingga membinasakan ummah, menimbulkan kesengsaraan dan menjadi malapetaka kepada persaudaraan sejagat.
Tiga naskhah ini adalah antara 65 buah cerpen yang diterima untuk penilaian juri yang mana daripada jumlah tersebut sebanyak 22 disenarai pendek sebelum 10 dipilih untuk menerima hadiah utama dan penghargaan.
Tujuh cerpen lain yang turut terpilih ialah Bertanya Seorang Haral karya Siti Jasmina Ibrahim, Kuroshio (Hafizah Iszahanid), Hari yang Bergelar Kematian (Juri Durabi), Neraca Akal (Maznida Mahadi), Lelaki dari Negeri Pelangi dan Titis-titis Hujan di Rakhine (Azman Ismail), Pak Hussin, Bas Buruk dan Calon YB dan Saya (MK Riza).
Naskhah yang dipilih dalam senarai akhir kali ini membawa kepelbagaian tema seperti isu-isu semasa sama ada yang berlaku di tanah air atau di peringkat antarabangsa, seni warisan, budaya, isu-isu sosial, ragam politik dan ehwal pelakunya.
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Ke-33 akan berlangsung di Dewan Besar Utusan di sini dan majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu kategori Cerpen Media Baharu, Cerpen Remaja, Cerpen Umum, Puisi, Rencana dan Novel Remaja.











