Desak PM undur: DAP perlu tegur, ingatkan Cheng Hau - Utusan Malaysia

Desak PM undur: DAP perlu tegur, ingatkan Cheng Hau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH – Kepimpinan DAP digesa memberikan teguran serta peringatan tegas terhadap seorang pemimpinnya yang dilapor mahu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Gesaan itu disuarakan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Abu Bakar Yahya yang menyifatkan tindakan Dr. Boo Cheng Hau itu adalah biadab selain menunjukkan Ahli Jawatankuasa DAP Johor itu tidak memahami situasi sebenar yang berlaku dalam negara ketika ini.

Katanya, kenyataan Mahathir yang menegaskan manifesto Pakatan Harapan (PH) ‘bukan kitab suci, ia hanya panduan’ itu bukan bermaksud untuk memperlekeh atau tidak yakin dengan perkara-perkara yang terkandung dalam manifesto itu.

Sebaliknya, pelaksanaan manifesto tersebut bergantung kepada kemampuan kerajaan yang ketika ini sedang berusaha keras melaksanakan proses pemulihan serta pembetulan semula pentadbiran dan ekonomi negara yang telah ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Apa sebenarnya motif beliau (Cheng Hau) cuba mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri mengenai soal manifesto itu sedangkan semua pemimpin dalam PH termasuk daripada DAP sendiri tahu bahawa untuk menunaikan kesemua janji dalam manifesto itu bukan satu perkara mudah.

“Kadang-kadang kita perlu berfikiran praktikal, bukannya membuat desakan murahan seumpama itu,” tegasnya yang turut mengingatkan Cheng Hau bahawa pelantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri merupakan keputusan bersama semua pimpinan parti dalam PH.

Pada masa sama, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri turut mengingatkan pemimpin PH tidak menafikan peranan Mahathir dalam menumbangkan kerajaan pimpinan BN pada pilihan raya umum lalu.

Cheng Hau semalam dilaporkan mendesak Mahathir meletak jawatan kerana memperlekeh manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 PH. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN