Cincin palsu: Kedai emas rugi RM2.89 juta - Utusan Malaysia

Cincin palsu: Kedai emas rugi RM2.89 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 26 Feb. – Sebuah kedai emas di Genting Highlands dekat sini didakwa kerugian RM2.89 juta selepas cincin berlian jenis ruby yang dijual di kedai itu ditukar dengan cincin palsu oleh seorang lelaki yang kononnya mahu membeli barang kemas berkenaan semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusuf berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.50 tengah hari apabila suspek berusia lingkungan 50-an, dipercayai warganegara China datang ke kedai emas berkenaan kononnya untuk membeli barang kemas yang dijual di situ.

“Suspek kemudian meminta seorang jurujual berusia 45 tahun mengeluarkan sebentuk cincin berlian jenis ruby seberat lima karat untuk mahu melihat cincin permata itu terlebih dahulu.

“Selepas kira-kira 20 minit suspek melihat cincin itu, dia menyatakan tidak mahu membeli sebelum menyerahkan kembali barang kemas berkenaan kepada jurujual sebelum terus beredar dari kedai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, jurujual itu kemudian meminta rakan sekerjanya membuat ujian ketulenan kerana dia perasan terdapat sedikit perbezaan terhadap cincin berlian yang diberikan oleh suspek berkenaan.

“Jurujual berkenaan cuba untuk mengejar suspek namun gagal kerana dipercayai sudah melarikan diri. Dia kemudian membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sejurus selepas kejadian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN