LONDON 17 Feb. – Maurizio Sarri akan bekerja keras untuk menyelamatkan jawatannya apabila kelab yang dilanda krisis, Chelsea akan bertemu Manchester United dalam pusingan kelima Piala FA, Isnin ini.
Sarri kini dibuai ancaman disingkirkan selepas mengalami pengalaman menyedihkan di Stamford Bridge musim ini, dan jika Chelsea tersingkir dari Piala FA, situasi tersebut akan lebih bahaya.
Chelsea mengalami mimpi ngeri selepas 28 tahun apabila dibelasah 0-6 oleh Manchester City minggu lalu, dengan kepedihan tersebut dirasai hanya seminggu selepas diaibkan Bournemouth 0-4.
Sarri kini mahu memberi tumpuan dalam melayani kunjungan United di Stamford Bridge, dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala FA.
“Kami tahu tempoh ini sangat genting. Kami mempunyai perlawanan penting. Pertama kami akan berdepan United. Sesuatu perlawanan yang cukup mencabar
“Tidak ada yang gembira apabila anda kalah dalam perlawanan seperti yang kami alami. Bukan sahaja pemain, tetapi jurulatih dan semua orang,
“Kami perlu konsisten. Kami semua tahu perkara ini dan sangat penting bahawa semua orang perlu faham tentang situasi sekarang. Kami perlu bekerja keras.
“Kerjasama sangat penting untuk membuat perubahan,” kata pembantu jurulatih Chelsea, Gianfranco Zola.- AFP










