KEMAMAN 26 Feb. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman menahan dua buah bot nelayan pantai asing kerana menceroboh perairan Dungun pagi semalam.
Turut ditahan dalam Op Khas kira-kira pukul 9 hingga 9.45 pagi itu, enam nelayan warga Myanmar berusia 24 hingga 35 tahun.
Pegawai Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai pencerobohan bot nelayan asing itu.
Berikutan itu katanya, satu pasukan khas dibentuk dan segera dikerah ke lokasi sebelum mendapati dua buah bot fiber bersama nelayan asing terbabit sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan, kira-kira 10 batu nautika dari Kuala Dungun.
“Setelah diperiksa, enam nelayan warga Myanmar itu kemudian ditahan sebelum dibawa ke jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Rashidilhadi berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan lesen serta permit kebenaran menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan.
Sehubungan itu, katanya, Maritim Terengganu bersama Zon Maritim Kemaman akan terus menggandakan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi dan terpelihara. – UTUSAN ONLINE










