Kejadian beruang kutub memasuki penempatan manusia bukanlah kejadian asing, namun insiden 52 ekor haiwan tersebut di kepulauan Novaya Zemlya di timur laut Rusia Sabtu lalu telah menggemparkan dunia.
Rakaman yang dimuat naik di media sosial menunjukkan haiwan buas berkenaan berkonfrontasi dengan manusia.
Beruang kutub mampu berenang sehingga jarak 161 kilometer dan boleh berlari selaju 40 kilometer sejam.
Berdasarkan satu kenyataan pakar di laman berita The Telegraf, kejadian itu difahamkan berpunca daripada pencairan ais laut akibat perubahan iklim.
Jelasnya lagi, ia menjadikan penempatan berkenaan akan terus berisiko selagi beruang itu tidak kembali ke habitat asalnya.
Begitu pun, pencairan ais membuatkan habitat haiwan itu dijangka terbentuk kembali pada pertengahan November tahun ini.
Bulan lalu, satu laporan berita di televisyen Rusia menyiarkan, sekurang-kurangnya enam beruang ditemui berhampiran Dikson iaitu salah satu penempatan penduduk di kawasan paling utara Rusia.
Ia telah menyebabkan kira-kira 500 orang panik dan ketakutan.
Susulan kejadian Novaya Zemlya, amaran berjaga-jaga dikeluarkan penguat kuasa tempatan selepas lebih 3,000 laporan awam dibuat oleh penduduk setempat.
Difahamkan pihak berkuasa dalam usaha untuk mengusir beruang kutub dari habitat manusia.
Perdebatan
Ketua Pentadbiran Perbandaran Novaya Zemlya, Zhigansha Musin memberitahu, buat masa ini jumlah pencerobohan beruang kutub sedikit berkurangan.
“Kami turut mengusir beruang berkenaan dengan menggunakan alat yang dimiliki oleh pihak perbandaran.
“Setakat ini jumlah beruang kutub di kawasan bandar telah berkurang kepada 50 ekor. Bagaimanapun, jumlah tersebut tidak dapat dipastikan dengan tepat kerana faktor cuaca,” katanya kepada media Rusia Isnin lalu.
Tambahnya, pihak berkuasa juga mengatur pengangkutan buat penduduk khususnya bagi kanak-kanak ke tadika dan sekolah.
Pagar tambahan telah dipasang berhampiran tadika untuk memastikan keselamatan kanak-kanak.
Situasi yang berlaku di Rusia itu menjadi perdebatan apabila usaha untuk membendungnya bertemu jalan sukar.
Bukan sekadar keselamatan awam perlu dipertimbangkan namun, pihak berkuasa Rusia juga masih mengekalkan larangan terhadap orang awam untuk menembak beruang kutub.
Dalam situasi yang membimbangkan itu, penduduk telah diberikan kawalan ketat untuk ke tempat kerja dengan bantuan anggota tentera.
Mereka telah dihantar ke tempat kerja dengan kenderaan khas bagi mengelakkan gangguan beruang kutub.
Bagaimanapun, langkah berkenaan tidak memberikan hasil memandangkan beruang tidak takut pada isyarat bunyi, kenderaan mahupun anjing rondaan.
Pihak berkuasa alam sekitar Rusia telah mengarahkan pasukan pakar ke rantau Artik terpencil itu untuk melaksanakan alternatif bagi memindahkan puluhan beruang kutub lapar yang menceroboh penempatan itu.
Mereka turut melakukan penilaian untuk melihat keadaan dan mencegah serangan pemangsa terhadap manusia.
Bagaimanapun, baru-baru ini kerajaan Rusia telah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan menembak beruang hanya akan dibenarkan jika keadaan terlalu mendesak.
Kajian
Ia susulan satu laporan berhubung kenyataan Timbalan Menteri Pentadbiran dan Perbandaran Tempatan, Musin Alexander Minayev yang memberitahu pihak berkuasa wilayah bahawa beberapa beruang kutub telah menyerang penduduk setempat.
Para pakar bagaimanapun berharap senjata api tidak diperlukan untuk memberi amaran kepada spesies yang diancam kepupusan itu.
Dalam satu kajian di portal Polar Bears International, sehingga kini hanya 26,000 ekor beruang kutub yang direkodkan di dunia.
Menurut kajian itu lagi, sekiranya isu perubahan iklim dan pemburuan haram tidak dibendung jumlah itu dijangka menurun.
Penyelidik utama di Institut Ekologi dan Evolusi Severtsev Rusia, Ilya Mordvintsev memberitahu kepada portal Tass, kemunculan beruang kutub di penempatan manusia adalah disebabkan oleh penghijrahan bermusim haiwan berkenaan, tarikan sisa makanan manusia selain ia sumber makanan terdekat.
“Berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya, mereka ke darat (penempatan manusia) dari bahagian selatan kepulauan iaitu kawasan kedudukan ais berubah melalui Novaya Zemlya menuju ke utara, iaitu kawasan ais adalah pepejal.
“Sebelum ini kira-kira 10 ekor beruang dilihat berada di kawasan Belushya Guba dan pihak kami berpendapat ia berlaku kerana mempunyai makanan alternatif seperti sampah dan sisa makanan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, bagaimanapun kejadian kali ini menunjukkan jumlah beruang kutub yang banyak menyebabkan pihaknya perlu ke kawasan kejadian untuk melakukan penyelidikan yang teliti.
Beruang kutub telah mencari sampah terbuka di Dikson kerana makanan manusia kaya dengan kalori.
Beruang kutub kebanyakannya aktif sepanjang tahun dan sentiasa mempunyai keinginan yang kuat untuk makan, manakala beruang kutub yang bunting khususnya memerlukan tenaga untuk menghasilkan lemak pada musim luruh sebelum berhibernasi dan melahirkan anak menjelang musim sejuk.
“Secara semula jadi, beruang kutub mencari tempat yang mempunyai sumber makanan, kebiasaannya ia menandakan kawasan itu sebagai wilayahnya dan cuba mempertahankan kawasan tersebut,” kata Alexander Korobkin, Timbalan Menteri Sumber Asli Rantau itu.
Hanya segelintir manusia yang mempunyai konfrontasi genting dengan beruang kutub setiap tahun. Walau bagaimanapun, risiko penambahan jumlah penghijrahan beruang semakin meningkat selepas pertambahan aktiviti manusia di kawasan Artik menyumbang kepada perubahan iklim yang menjadi punca rantau itu mengalami peningkatan suhu lebih cepat daripada sebelum ini.
Aktiviti manusia itu turut melibatkan beberapa projek kerajaan Rusia di kawasan Artik, melibatkan industri pelabuhan dengan China dan United Kingdom yang memberikan kesan kepada habitat beruang kutub.
Ia menyebabkan penambahan laluan laut, menjadikan lautan di kepulauan Rusia terdedah kepada pencemaran yang mengundang perubahan iklim secara mendadak.
Beruang kutub lebih suka menghabiskan sebahagian besar masa di atas ais laut terapung iaitu lokasi ideal untuk memburu anjing laut yang menjadi asas diet haiwan itu.
Ketika bongkah ais mula mencair awal tahun ini, semakin banyak beruang terpaksa menghabiskan musim panas di darat.
Di Amerika Utara, fenomena seumpama itu telah membawa kepada kemunculan spesies baharu beruang iaitu grolar dan pizzly iaitu anak yang dilahirkan daripada kacukan antara beruang kutub dan grizzlie.
Peningkatan aktiviti manusia di kawasan Artik menyebabkan kawasan itu terdedah dengan pencemaran yang mengundang perubahan iklim sehingga memusnahkan habitat beruang kutub yang kini menceroboh penempatan manusia.











