KUALA LUMPUR – Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat pelancongan direman selama empat hari bermula hari ini selepas dipercayai terlibat penipuan pakej pelancongan tidak wujud membabitkan kerugian berjumlah RM2 juta.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kajang, Sharifah Fazilah Zulkifli bermula hari ini sehingga 17 Februari depan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika disabit kesalahan.
Suspek yang berusia 34 tahun yang memakai baju kemeja berwarna biru serta beseluar jeans dilihat tenang memasuki ke mahkamah dengan diiringi anggota polis.
Terdahulu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menahan seorang lelaki yang juga CEO sebuah syarikat pelancongan di pejabatnya di Taman Kajang Sentral pada pukul 11.55 pagi semalam selepas menerima laporan daripada seorang pengadu yang juga mangsa penipuan suspek.
Berdasarkan laporan, mangsa memasukkan wang berjumlah RM27,133 ke dalam akaun bank milik syarikat pelancongan suspek selepas dijanjikan penerbangan dan percutian ke Turki dan Paris pada 7 Februari lalu.
Difahamkan, hasil soal siasat suspek mengaku seramai 400 pelanggan terpedaya dengan nilai kerugian berjumlah RM2 juta.
Kosmo! pada 9 Februari lalu melaporkan, impian kira-kira 120 individu untuk menikmati percutian ke benua Eropah lebur selepas mereka terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dipercayai akibat ditipu oleh sebuah agensi pelancongan.
Kesemua mangsa yang tiba dari negeri di utara dan selatan tanah air turut mengalami kerugian lebih RM810,000 selepas dimaklumkan nama mereka tiada nama senarai penumpang untuk penerbangan ke Turki, Paris serta Santorini.
Selain itu, tiada wakil agensi pelancongan berkenaan di lokasi sebaliknya rata-rata mereka yang menunggu sejak tengah hari telah menerima panggilan pada pukul 9.35 malam daripada agensi itu memaklumkan penerbangan mereka dibatalkan. – K! ONLINE










