ALOR SETAR 7 Feb. – Pemuda UMNO negeri menyelar cadangan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul untuk mewujudkan konsep Bangsa Kedah seperti mana di Johor untuk mengeratkan lagi perpaduan masyarakat di negeri ini.

Ketua Penerangannya, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, konsep dan pelaksanaan yang baik di sesuatu tempat tidak bermakna ia juga sesuai dilaksanakan di tempat lain.
Menurutnya, perpaduan dalam kalangan masyarakat Kedah amat baik sehinggalah kehadiran pembangkang yang kini menjadi kerajaan menghasut rakyat sehingga membawa perpecahan dan berpuak-puak.
“Pemuda UMNO Kedah sangat bersetuju jika perpaduan antara masyarakat dan kaum perlu diperkukuh lantaran pelbagai isu melingkari hubungan antara kaum yang mengeruhkan lagi keadaan.
“Namun, anda (Johari) yang dicanang-canang bakal Menteri Besar Kedah yang sedang menanti giliran, janganlah bagi idea yang jelas menampakkan ketidakupayaan berfikiran jauh,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya di sini hari ini.
Kelmarin, Johari meminta rakyat Kedah bersatu padu dengan mewujudkan konsep seperti Bangsa Kedah bagi mengetepikan pertelingkahan politik untuk bersama-sama membangunkan Kedah menjadi sebuah negeri maju.
Mengulas lanjut, ujar Syed Mohd. Johan Rizal, perpecahan antara kaum kini sememangnya semakin membesar yang dapat dilihat menerusi komen-komen dalam media sosial terhadap sesuatu isu.
“Sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, adakah perpaduan semakin baik atau bertambah buruk. Bukankah kerajaan PH gagal mengawal beberapa isu sehingga menyebabkan jurang pemisahan antara kaum semakin meresahkan.
“Mungkin apabila Johari sudah bergelar Menteri Besar Kedah suatu hari nanti, beliau boleh memikirkan kaedah lebih baik untuk menyatukan masyarakat dan kejayaan penyatuan itu boleh menjadi contoh kepada negeri lain pula tanpa perlu mewujudkan konsep Bangsa Kedah,” katanya.
Sementara itu, Johari berkata, menjelaskan konsep Bangsa Kedah yang dicadangnya hanyalah sekadar contoh untuk mengukuhkan lagi perpaduan sesama masyarakat negeri ini.
Ujar Pengerusi PKR negeri itu, perkara utama harus menjadi fokus adalah kesatuan masyarakat yang jitu supaya Kedah terus membangun dengan baik daripada segenap aspek.
“Saya sebut semalam bagaimana kita boleh melihat contoh konsep acuan Johor iaitu mereka sanggup melaungkan perkataan Bangsa Johor dan semangat inilah yang patut kita ikut.
“Perkara itu akan dapat menyatukan masyarakat tanpa ada pagar-pagar pemisah di antara kita, tetapi maksud saya bukan kita harus jadi nasionalis yang totok sehingga tidak boleh berkawan dengan orang negeri lain,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Johari hadir dalam pertandingan bola sepak anjuran Komuniti Tikam Batu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekula Jaya, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sifat kenegerian perlu ada had supaya tidak mengetepikan perpaduan negara yang jauh lebih mustahak.
Ujar Mukhriz, perkataan Bangsa Kedah tidak pernah wujud dalam Undang-Undang Tubuh Kedah berbanding Johor yang memang termaktub dalam perlembagaan negeri berkenaan.










