Bukan kerana Pas terdesak isu RM90 juta - Utusan Malaysia

Bukan kerana Pas terdesak isu RM90 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 19 Feb. – Sokongan Pas kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan kerana parti itu mahu mengalih perhatian selepas terpalit dengan dakwaan menerima dana RM90 juta menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sokongan itu juga bukan kerana parti itu menerima desakan mana-mana pihak, sebaliknya atas faktor kedudukan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri yang dipercayai sedang diganggu gugat.

“Tidak ada kaitan (isu siasatan dana RM90 juta) sebab perkara itu sudah disiasat dan didapati tidak berlaku. Jika SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mahu teruskan siasatan pun tidak mengapa asalkan ia dilakukan atas dasar memang wujudnya salah laku.

“Sokongan kita kepada Dr. Mahathir atas sifat jika berlaku usaha menggulingkan beliau atau undi tidak percaya. Kita beri jaminan akan bersama Dr. Mahathir atas dasar untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Apa yang pastinya, sokongan ini tiada kaitan dengan isu RM90 juta itu,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Presiden PKR , Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mendakwa Pas yang terdesak mendapatkan sokongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Dr. Mahathir berbohong apabila mendakwa berlaku pengkhianatan terhadap Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, tidak timbul soal kerjasama politik antara Pas dan Bersatu ekoran sokongan pihaknya terhadap Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Tegas beliau, Pas hanya bersedia untuk menyokong Dr. Mahathir jika berlaku usaha menggulingkan beliau termasuk undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen.

“Kita beri jaminan kepada beliau bahawa 18 ahli Parlimen Pas ini Insya-Allah akan beri sokongan kepadanya . Walaupun 18 orang ini mungkin tidak cukup, sekurang-kurangnya kita membantu.

“Kita rasa perkara ini tidak patut berlaku sebab Dr. Mahathir tidak sampai setahun jadi Perdana Menteri. Janji beliau dengan Pakatan Harapan (PH) untuk pegang jawatan dua tahun, itu bukan hal kami,” katanya.

Beliau dalam pada itu juga memberitahu, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Pas masih bekerjasama dengan UMNO sebagaimana yang pernah berlaku di PRK Parlimen Cameron Highlands.

“Kerjasama (dengan UMNO) macam biasa, sama sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×