KUALA LUMPUR 10 Feb. – Boon Siew Honda menyasarkan muncul jenama terkemuka industri motosikal di Malaysia dan membentuk penanda aras bagi setiap segmen motosikal.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda berkata, untuk itu, syarikat akan menumpukan kepada peningkatan jenama, memperbaiki rangkaian pengedar, meningkatkan perkhidmatan selepas jualan, mengembangkan keselamatan menunggang selain membangunkan pelumba tempatan dan sukan permotoran.
Katanya, syarikat juga merekodkan prestasi jualan yang baik dengan sebanyak 156,000 buah tahun lalu dan jumlah jualan meningkat 28.7 peratus berbanding 121,000 buah yang dijual pada 2017 di Malaysia.
“Ini menjadikan pegangan pasaran berkembang daripada 26 peratus pada 2017 kepada 30 peratus tahun lalu,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Bagi memenuhi spektrum yang luas untuk kepelbagaian dan gaya hidup daripada untuk kegunaan harian kepada santai dan premium, Boon Siew Honda mengukuhkan produk cub, transmisi automatik, motosikal santai dan motosikal besar dengan memperkenalkan 12 model baharu selain tiga model yang dipertingkatkan pada 2018.
“Sebagai tambahan, Boon Siew Honda melancarkan ruang pameran Honda BigWing dan Honda Impian X yang menawarkan pengalaman menarik kepada pelanggan,” katanya.
Tahun lepas, model RS150R dan Wave Alpha adalah penyumbang terbesar kepada jumlah jualan Boon Siew Honda dengan masing-masing 43,948 buah dan 36,895 buah dijual.
Wilayah tengah adalah penyumbang terbesar kepada jumlah jualan Boon Siew Honda sebanyak 55,263 buah atau 35.4 peratus, diikuti wilayah utara dengan 40,903 buah dijual atau 26.2 peratus.
Untuk 2019 katanya, Boon Siew Honda akan lebih agresif dalam strateginya untuk meningkatkan jenamanya di Malaysia.









