SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) dianggap semakin terdesak menarik undi pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Sabtu ini.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ini berikutan tindakan Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Mohamed Satim Diman yang menggunakan isu kematian pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai sebagai modal politik mereka.
Katanya, kenyataan sebegitu jelas menunjukkan kecetekan hujah di kalangan pemimpin BN.
“Kalau hendak ambil jumlah undi, meninggal dunia di BN pun ramai namun kita tidak menggunakannya sebagai hujah politik.
“Saya percaya dalam era Malaysia Baharu ini, rakyat menolak politik usang sebegini,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas
ucapan Satim dalam ceramah umum BN dalam kempen PRK DUN Semenyih malam tadi yang mendakwa satu demi satu Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlaku di Selangor adalah amaran daripada Allah supaya rakyat Malaysia memilih parti yang tepat.
Jelas Amirudin yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, kenyataan tidak bertanggungjawab itu juga memperlihatkan BN tidak pernah berubah. – K! ONLINE










