KUALA LUMPUR 6 Feb.- Tiga mangsa rentung selepas kereta BMW dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Kilometer 6.9, Lebuh Raya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK) dekat sini, petang semalam merupakan anak beranak.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, pemandu kereta berkenaan dikenal pasti sebagai Goh Tian Hin, berusia 44 tahun.
Menurutnya, dua lagi mangsa adalah ibu dan bapa pemandu berkenaan iaitu Saw Yeng Fui, 65, serta Goh Soay Sing, 68, dan ketiga-tiga mereka beralamat di Taman Anggerik Emas, Kajang dekat sini.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dipandu Tian Hin dari arah Balakong menghala ke arah Sungai Long hilang kawalan lalu terbabas sendiri sebelum melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri.
“Akibat itu, kereta BMW tersebut terbakar dan ketiga-tiga tidak sempat menyelamatkan diri sebelum ditemukan rentung dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan tiga individu maut selepas kereta BMW dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Lebuh Raya SILK, Kajang dekat sini dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang.- UTUSAN ONLINE










