KUALA LUMPUR 7 Feb. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak harus mempertahankan sesiapa sahaja yang memalsukan pencapaian akademiknya kerana mengaitkan tindakan tersebut sebagai tidak berintegriti.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, seseorang itu perlu mempunyai integriti terutamanya yang mempunyai jawatan, kerana antara perkara Pakatan Harapan (PH) menentang Barisan Nasional (BN) adalah disebabkan soal tiadanya integriti.

Beliau berkata demikian kepada akhbar The Star berhubung kontroversi yang melanda Timbalan Menteri Luar yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya atas dakwaan mempunyai ijazah daripada pusat pengajian yang tidak diiktiraf.
“Integriti adalah segala-galanya. Saya tidak akan mempertahankan sesiapa yang tiada integriti, jika beliau benar-benar memalsukan pencapaiannya.
“Jika benar Marzuki memalsukan akademiknya, beliau perlu memohon maaf,” kata Rais Hussin.
Menurutnya lagi, tiada gunanya mempertahankan perkara tidak boleh dipertahankan.
Beliau bagaimanapun berkata, bergantung kepada Marzuki sendiri untuk membuat keputusan sama ada mahu melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Luar atau tidak.
Beberapa pemimpin UMNO sebelum ini mendesak Marzuki melepaskan jawatannya namun ada pemimpin Bersatu yang mempertahankannya bahawa Setiausaha Agung parti itu tidak boleh dihukum kerana isu itu sahaja.










