Berlesen atau tidak, anjing tetap menggigit - Utusan Malaysia

Berlesen atau tidak, anjing tetap menggigit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU dibuat carian menerusi laman Google, kita akan menemukan kata-kata hikmah yang mengatakan anjing adalah ‘sahabat terbaik’ manusia. Haiwan itu dikatakan memiliki sifat setia dan patuh kepada tuannya.

Ya, haiwan itu mungkin baik kepada tuannya, tapi bagi individu yang tidak membela anjing, sudah tentu lain pandangan mereka. Cubalah tanya kepada mereka yang pernah digigit atau dikejar haiwan itu sehingga tidak cukup tanah hendak lari.

Baru-baru ini kecoh kejadian anjing mati dipercayai diracun di Taman Lavender Heights di Seremban. Kejadian itu tular sehingga warganet menjadikannya isu perkauman dan agama kerana suspek utama adalah ‘orang kuat’ masjid di kawasan terbabit.

Sudah tentu kita mengutuk perbuatan kejam itu. Manusia mana yang hilang sifat belas kasihan sehingga tergamak mengumpan makanan beracun kepada anjing dengan niat sengaja membunuhnya.

Bagaimanapun, kita perlu juga berlaku adil dan melihat punca di sebalik insiden berkenaan. Tinggal di kawasan perumahan dan terpaksa ‘berkongsi’ ruang dengan puluhan anjing liar, pastinya konflik anjing dan manusia sukar untuk dielakkan.

Setakat bunyi bising anjing menyalak, mungkin tidak mengapa. Tapi siapa boleh tahan kalau najisnya bertaburan di jalan raya, rumah, taman permainan dan masjid.

Haiwan peliharaan seperti arnab dan kucing yang selama ini dibelai manja, mati dengan perut terburai dibaham anjing.

Kanak-kanak, malah orang dewasa pula cedera dikejar anjing semasa beriadah pada waktu petang. Ada juga kes anjing ganas masuk ke dalam rumah. Lebih teruk lagi, aduan dibuat kepada pihak berkuasa tetapi masalah tetap tidak selesai.

Gangguan bukan saja datang dari anjing liar tetapi juga anjing dilepaskan jiran di sebelah rumah yang tidak sensitif perasaan orang lain. Anjing tetap anjing, ia akan menggigit sama ada berlesen atau tidak.

Masalah anjing liar adalah isu utama yang dihadapi bukan saja di kawasan itu tetapi juga di perumahan lain sekitar Seremban. Aduan berhubung haiwan itu adalah yang tertinggi diterima Majlis Perbandaran Seremban (MPS) melalui sistem e-Aduan, selain masalah jalan rosak dan berlubang.

Sepanjang tahun 2016, sebanyak 8,000 ekor anjing ditangkap dan dilupuskan oleh MPS melalui dua syarikat yang dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Kalau dihitung, jumlah itu bersamaan dengan 21 ekor anjing liar ditangkap setiap hari atau nisbah satu ekor anjing liar bagi setiap 77 penduduk Seremban. Itu jumlah yang berjaya ditangkap, yang lain masih banyak bebas berkeliaran.

Bagaimanapun, operasi tangkap dan lupus anjing liar dihentikan MPS pada Julai 2017, ekoran bantahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap kaedah itu yang dikatakan zalim di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Kebanjiran anjing liar kebelakangan ini ada kaitan dengan sikap mengalah MPS terhadap bantahan NGO terbabit.

MPS perlu bertegas dalam menangani isu ini kerana kuasa terletak di tangan mereka. Kesejahteraan rakyat yang membayar cukai kena diutamakan. Jika tidak dilupuskan, anjing liar akan terus membiak.

Pihak NGO pula jangan hanya mementingkan hak haiwan semata-mata, sebaliknya mesti juga memikirkan hak serta keselamatan orang ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN