ALOR SETAR 7 Feb. – Kementerian Kewangan sepatutnya mendahulukan sekolah di kawasan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak sebelum menyalurkan peruntukan RM12 juta untuk sekolah menengah persendirian Cina melalui sumber kementerian itu, baru-baru ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata, adalah tidak wajar menggunakan wang rakyat mendahulukan atau memberi manfaat kepada pihak swasta sedangkan masih banyak sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) di bawah Kementerian Pendidikan yang memerlukan peruntukan kewangan.

Beliau berkata, langkah itu juga bercanggah dengan semangat Perkara 153(2) Perlembagaan Persekutuan berhubung keistimewaan pendidikan yang sepatutnya mengutamakan kepentingan orang Melayu dan bumiputera.
“Adakah kerajaan Pakatan Harapan (PH) ingin menjulang kepentingan institusi pendidikan Cina termasuk berstatus swasta berbanding SK dan SMK yang lebih berkonsepkan perpaduan anak bangsa?,” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan semalam yang menjelaskan bahawa peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina 2019 berjumlah RM12 juta, bukan merupakan peruntukan Kementerian Pendidikan sebaliknya adalah dana khas yang disalurkan terus oleh Kementerian Kewangan kepada sekolah terbabit.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Kabinet wajar bertindak berhubung kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bahawa banyak peruntukan penambahbaikan prasarana SK dan sekolah agama masih di peringkat kajian Kementerian Kewangan.

Menurutnya, rakyat kini berasa khuatir kerana peruntukan untuk sekolah persendirian Cina boleh dipercepat melalui penyediaan dana khas Kementerian Kewangan.
“Kementerian Kewangan sewajarnya menjadi fasilitator kepada usaha menurunkan dana dan peruntukan bersesuaian kepada Kementerian. Jangan jadikan Kementerian Kewangan sebagai ‘kubu’ untuk membina kekuatan politik peribadi dan parti sendiri.
“Kegusaran rakyat ini ada asasnya. Prasarana sebahagian sekolah kebangsaan dan agama berada dalam keadaan cukup daif. Ia memerlukan dana segera dan kelewatan birokrasi seperti ini seolah-olah menjadikan pelajar sebagai mangsa permainan politik,” katanya.









