WASHINGTON 15 Feb. – Berat badan Presiden Amerika Syarikat (AS) meningkat sedikit berbanding tahun lepas dan memerlukan ubat kolesterol lebih tinggi namun masih kekal dalam kesihatan yang sangat baik.
Menurut doktor yang merawatnya, Dr. Sean Conley berkata, Trump, 72, yang menjalani pemeriksaan kesihatan minggu lalu lulus dengan cemerlang.
“Menjadi keazamanan saya untuk Presiden kekal sihat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut laporan tersebut, Trump membingungkan pakar kesihatan kerana gemarkan makanan ringan dan enggan bersenam itu mempunyai berat badan 110 kilogram.
Jumlah itu mencatatkan sedikit peningkatan berbanding 108 kilogram tahun lalu yang memang dianggap berat berlebihan.
Kadar degupan jantung juga meningkat pada 70 degupan seminit berbanding 68 tahun lalu.
Kata Conley, Trump mempunyai sejarah kolesterol tinggi dan dos ubat antikolesterol, Rosuvastatin pada tahun ini dinaikkan daripada 10 miligram sehari kepada 40 miligram. -AFP










