Berang isteri minta cerai, pemandu teksi mengamuk pukul anak - Utusan Malaysia

Berang isteri minta cerai, pemandu teksi mengamuk pukul anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Gara-gara berang isteri meminta cerai, seorang pemandu teksi bertindak memukul anak perempuannya yang berusia sembilan tahun menggunakan rotan di rumah mereka di Jalan Tengah Stulang Baru di sini, Khamis lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, lelaki berkenaan turut bertindak memukul isterinya menggunakan al-Quran di kepala sebanyak tiga kali.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, polis menerima laporan daripada isteri suspek mendakwa anak tirinya dipukul oleh suaminya.

“Menurut keterangan yang diberikan oleh isteri suspek kejadian berlaku pada pukul 3 petang. Anak tirinya dipukul suspek berikutan dia mahu menuntut cerai.

“Suspek bertindak masuk ke dalam bilik tidur dan mengambil rotan berukuran 60 sentimeter. Suspek kemudiannya memanggil mangsa masuk ke dalam bilik sebelum memukul mangsa pada tangan dan betis kiri.

“Suspek kemudiannya bertindak memukul isterinya menggunakan al-Quran,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Shahurinain, mangsa merupakan anak kandung suspek dan diletakkan dibawah jagaan suspek sepenuhnya.

“Suspek ditahan pada hari yang sama laporan polis dibuat oleh mangsa. Siasatan lanjut juga mendapati, suspek sebelum ini pernah memukul anaknya bagaimanapun, tiada sebarang laporan polis dibuat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Difahamkan, suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen esok. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN