MADRID 26 Feb. – Keputusan Cristiano Ronaldo melangkah keluar daripada Real Madrid pada musim lalu telah memberikan peluang kepada Karim Benzema untuk mempamerkan aksi bola sepak sebenar, demikian kata penyerang skuad kebangsaan Perancis itu.
Sepanjang Ronaldo bersama Madrid, pemain tersebut sering dijadikan sandaran utama bagi mencipta peluang serta menjaringkan gol dan kini semuanya berubah selepas pemain Portugal itu menyertai Juventus pada musim lepas.
Kini sandaran utama di bahagian serangan lebih tertumpu kepada Benzema sekali gus membolehkan dia menambah koleksi gol peribadi.
“Sebelum ini ada seseorang yang menjaringkan lebih daripada 50 gol semusim dan peranan saya lebih kepada untuk melakukan hantaran.
“Kini saya memainkan peranan sama Ronaldo dalam pasukan dan berupaya membuktikan saya mampu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan yang diharungi.
“Lebih menggembirakan saya apabila dapat mengetuai jentera serangan dan saya sangat gembira dapat bermain bola sepak sebenar di sini,” kata Benzema.
Sepanjang Benzema bersama Madrid sejak 2009 sehingga kini dia telah meledak 138 gol dalam 301 penampilannya bersama kelab gergasi Sepanyol itu.- AGENSI











