KUALA LUMPUR 16 FEB. – Bukan salah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani golongan petani, nelayan berada dalam situasi kehidupan terhimpit ketika ini.
Hal ini kerana, menurut Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, pemotongan subsidi padi dan elaun sara hidup nelayan bukan tugas kementerian itu atau Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub tetapi di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Sebenarnya saya tak salahkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Subsidi padi, elaun sara hidup nelayan semua dipotong bukan kerja beliau, ini kerja Kementerian Kewangan bawah Lim Guan Eng.
“Saya masih ingat waktu perbahasan belanjawan di Parlimen. Wakil rakyat dari semua parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) merayu kepada Guan Eng supaya tidak potong bantuan untuk petani, pekebun kecil dan nelayan.
“Tapi Menteri Kewangan ini tak berapa kisah tentang ekonomi rakyat. Sampai Salahuddin menangis,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Khairy juga meminta semua pihak untuk menyebarkan maklumat berhubung fakta pemotongan peruntukan tersebut yang diambil menerusi buku belanjawan yang dibuat Guan Eng.
Kelmarin, Salahuddin menangis teresak-esak ketika membaca sekeping surat luahan hati daripada seorang pesawah, Ibas Hamud, 77, di atas pentas dalam majlis pelancaran Hala Tuju kementerian itu di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.










