PASIR MAS 6 Feb. – Seorang bapa hanya mampu terduduk tanpa berkata apa-apa sebaik sahaja melihat jenazah dua anaknya yang maut dalam kemalangan di jalan Pasir Mas-Tanah Merah berhampiran Kampung Bukit Tuku, di sini petang ini.
Kesedihan Mohd. Asri Zakaria bertambah apabila seorang lagi anaknya yang turut terlibat dalam kemalangan itu disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas itu.
Dalam kejadian pukul 1 petang ini, Fatin Arina Mohd Asri, 23, yang memandu kereta Perodua Myvi dan adiknya Anis Suraya, 10, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Seorang lagi mangsa, Haifa Amira, 22, dunia tiga jam kemudian ketika dirawat di Hospital Pasir Mas.
Mohd. Asri, 54, berkata, seluruh anggota badannya menjadi lemah sejurus melihat jenazah anaknya itu kerana dia baharu sahaja berbual-bual dengan mereka sebelum kejadian.
Katanya, tiga beradik tersebut dalam perjalanan untuk mengambil ibu saudara mereka yang berada di hospital ketika itu.
“Saya reda dengan apa yang berlaku, mungkin ini sudah ketentuan dari illahi,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammed Piah memberitahu, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Wira.
Katanya, difahamkan kereta Proton Wira yang dipandu oleh seorang lelaki telah cuba memotong sebuah kenderaan lain dilaluan tersebut.
“Pemandu kereta Proton Wira gagal memotong lalu telah masuk ke laluan bertentang dan kemduian bertembung dengan Perodua Myvi,” katanya.
Abdullah berkata, akibatnya dua mangsa yang menaiki Perodua Myvi berusia antara 24 dan 10 tahun telah meninggal dunia ditempat kejadian, manakala seorang lagi ketika sedang mendapat rawatan.
“Begitu juga dengan pemandu kereta Proton Wira yang dilaporkan sedang kritikal dan mendapat rawatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










