NEW DELHI 8 Feb. – Seorang remaja wanita menjadi mangsa rogol enam lelaki malah bapanya dipaksa melihat dalam serangan seks terbaharu di negara ini.
Menurut The Times of India, suspek mengetuk pintu rumah mangsa berusia 19 tahun di sebuah kampung di Daerah Kishanganj, Bihar meminta air sebelum mengheretnya keluar.
Mangsa kemudian dibawa ke sebuah padang terbiar berdekatan bersama bapanya yang diikat pada sebatang pokok untuk melihat perbuatan keji berkenaan.
Menurut Superintenden Polis, Kumar Ashish, seorang suspek bernama Mohammad Kasim telah ditahan manakala lima lagi masih bebas setelah pihaknya menerima laporan daripada keluarga mangsa kelmarin.
Katanya, mereka dimaklumkan penduduk tempatan bahawa enam susek itu sering mengganggu wanita di Patthar Ghatti dan kampung sekitarnya.
Pada tahun lalu, sebanyak 1,400 kes rogol dilaporkan di Bihar yang mana 39 kes hanya di Daerah Kishanganj sahaja. – AGENSI










