MADRID 14 Feb. – Bintang sayap Real Madrid, Gareth Bale berpotensi digantung 12 perlawanan gara-gara kontroversi yang dicetuskan ketika meraikan jaringan dalam aksi La Liga menentang musuh berjiran, Atletico Madrid, Sabtu lalu.
Pemain antarabangsa Wales itu menimbulkan kemarahan penyokong tuan rumah apabila berlari sambil menunjukkan jari tengah ke arah penonton di Stadium Wanda Metropolitano sejurus selepas menjaringkan gol. Real menang 3-1.
Badan pengelola La Liga hari ini mengesahkan, mereka akan menjalankan siasatan terhadap tindakan Bale yang dianggap mencetuskan provokasi terhadap penyokong lawan.
Menurut kenyataan itu lagi, laporan insiden tersebut kemudian akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pertandingan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol untuk tindakan lanjut.
Jika didapati bersalah, Bale boleh digantung maksimum 12 perlawanan.
Bagaimanapun menurut La Liga, daripada pengamatan awal mereka, Bale dilihat meletakkan tangan kanannya di kepala dan ia jelas satu tindakan provokasi terhadap penyokong tuan rumah.
Begitupun, tidak dapat dipastikan sama ada pemain berusia 29 tahun itu benar-benar melakukan isyarat lucah seperti yang didakwa. – AGENSI










