SETIAP aktiviti ekstrem ada risiko tersendiri. Justeru, aspek keselamatan sentiasa dititikberatkan dalam setiap penganjuran aktiviti ekstrem. Antaranya pemakaian jaket dan topi keselamatan serta abah-abah (harness) dan tali yang kukuh.
Itulah yang diutamakan penggerak aktiviti ekstrem tali ayunan (rope swing) di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Mungkin aktiviti itu tidak sesuai bagi mereka yang ada masalah gayat, tetapi itu bukan halangan untuk mencuba aktiviti yang memompa adrenalina itu.
Selain itu, sedikit keberanian diperlukan supaya proses pelepasan peserta dari platform berjalan lancar. Platform bagi aktiviti tali ayunan di Kuala Kubu Bharu terletak di jambatan dekat Empangan Sungai Selangor dengan ketinggian 60 meter.
Pihak yang bertanggungjawab mengurus dan menggerakkan aktiviti itu adalah Rentas Adventures. Pengasasnya, Shafiq Azmi, 31, berkata, dia memperkenalkan aktiviti tali ayunan kerana negara masih kekurangan aktiviti ekstrem seperti yang terdapat di luar negara.
“Sebelum ini saya pernah beberapa kali menjejakkan kaki ke Annapurna Base Camp (ABC) di Nepal untuk mengurus pendaki yang mahu ke sana.
Sepanjang berada di Pokhara, saya tertarik untuk mencuba aktiviti terjunan bungee dan tali ayunan.
“Sudah banyak kali saya mahu melakukan aktiviti itu di sana (Nepal), tetapi tidak berkesempatan. Faktor yuran yang tinggi turut menyekat peluang saya,” katanya.
Dek kerana minat yang mendalam, Shafiq bersama beberapa rakan mengusulkan cadangan memperkenalkan aktiviti tali ayunan di Kuala Kubu Bharu semasa program Selangor Hammock Camp yang diadakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor di Sungai Chiling pada Disember 2016.
“Beberapa pihak dalam program tersebut mencadangkan Rentas Adventures mengadakan aktiviti lasak seperti abseiling dan flying fox. Dalam masa sama kami mengusulkan cadangan mengadakan aktiviti tali ayunan. Cadangan ini mendapat sokongan ramai.
“Apabila siap dan sewaktu hari pembukaan, peserta dan wakil media turut hadir. Ketika itulah Majlis Daerah Hulu Selangor nampak aktiviti tali ayunan sesuatu yang menarik.
“Selepas itu beberapa perjumpaan diadakan bagi membincangkan lebih serius tentang pelaksanaan program. Antara jabatan yang terlibat adalah polis, bomba, Jabatan Hutan dan Jabatan Kerja Raya.
Gara-gara terjunan si kecil
Suatu ketika dahulu, aktiviti tali ayunan pernah tular apabila juara Ninja Warrior Challenge League 2018, Redha Rozlan melakukan aktiviti ekstrem itu bersama anaknya yang berusia lima tahun.
“Netizen mengkritik kerana mereka tidak tahu hal sebenar. Kami sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan. Sebelum aktiviti, waris perlu mengisi borang perubatan dan pampasan,”katanya.
Dia mengakui kritikan itu timbul kerana netizen bimbangkan keselamatan kanak-kanak terbabit.
“Ada netizen menulis di ruang komen bahawa mereka risau jika berlaku kecederaan lebih-lebih lagi pada bahagian leher.
“Saya ingin jelaskan bahawa aktiviti terjunan bungee dan tali ayunan adalah berbeza,” ujarnya.
Menurutnya, terjunan bungee membuatkan peserta jatuh secara tegak dan akan melambung (bounce), manakala tali ayunan pula dijatuhkan secara berhayun yang tidak melibatkan sebarang hentakan atau lantunan semula.
“Jika dikira pada aspek keselamatan, tentulah kami tidak sewenang-wenangnya beroperasi tanpa menguji peralatan bagi aktiviti itu terlebih dahulu. Tali yang digunakan bukan tali biasa. Tali tersebut diimport dari luar negara dan mempunyai kiraan hayunan.
“Sekiranya sudah melebihi tempoh, kami akan menukar tali baharu. Kami turut menetapkan kiraan pada pendulum tali sepanjang 200 meter yang mana tidak akan berlaku sebarang hentakan yang tidak diingini.
“Kabel yang kami gunakan bukan yang murah, sebaliknya kabel ini boleh menampung berat seekor gajah, sekurang-kurangnya 200 tan. Untuk keselamatan, kami gunakan dua tali bagi menampung berat peserta,”ujarnya.
Selain itu, pihaknya tidak mengambil kira faktor umur, sebaliknya mengambil kira berat badan seseorang.
Katanya, berat minimum peserta yang dibenarkan melakukan aktiviti itu adalah 35 kilogram dan maksimum, 121 kilogram.
Menurutnya, peserta paling berusia yang pernah menyertai aktiviti itu adalah 62 tahun.
“Itu pun setelah kami mengambil kira stamina dan fizikal peserta tersebut. Memandangkan dia juga seorang pendaki tegar, kami benarkan aktiviti dilakukan dan tiada masalah yang timbul,”tambahnya.
Selain itu Shafiq berkata, pihaknya akan bertanya dahulu kepada peserta mengenai tahap kesihatan sama ada memuaskan atau tidak. Di dalam borang penyertaan, peserta perlu memaklumkan tentang penyakit seperti tekanan darah, masalah tulang belakang, masalah pernafasan, masalah pendengaran dan penglihatan dan alahan kepada serangga atau habuk.
“Bagi kanak-kanak pula, bergantung kepada ibu bapa mereka sama ada pernah mendedahkan aktiviti lasak kepada anak-anak atau tidak. Ini kerana ia boleh mempengaruhi fizikal dan mental kanak-kanak yang ingin melakukan terjunan di bawah jagaan ibu bapa,” katanya. Sebagai langkah keselamatan, pihaknya telah mewujudkan polisi baharu iaitu hanya membenarkan kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas menyertai aktiviti tali ayunan dengan pemantauan ibu bapa.
Aktiviti ini dijalankan pada setiap Sabtu dan Ahad bermula pukul 9.30 pagi hingga 6.30 petang.
Majoriti penerjun adalah wanita
Setakat ini Rentas Adventures telah mengendalikan 400 aktiviti tali ayunan di Kuala Kubu Bharu. Boleh dikatakan, hampir tiga perempat daripada peserta adalah wanita.
“Yang kerap membatalkan aktiviti adalah peserta lelaki. Malah, peserta lelaki juga muncul sebagai pemegang rekod paling lama berfikir sama ada mahu meneruskan atau membatalkan terjunan. Ada peserta lelaki mengambil masa setengah jam sebelum membuat keputusan sama ada mahu terjun atau tidak.
“Baru-baru ini, seorang peserta wanita mencatatkan rekod baharu apabila duduk di atas platform selama satu jam,” katanya yang tidak memaksa peserta melakukan terjunan, sebaliknya membiarkan mereka menenangkan diri seberapa lama yang dimahukan sebelum terjun.
Menurutnya, peserta yang ingin membuat terjunan kali kedua akan menikmati harga diskaun.
Katanya, harga itu lebih jimat memandangkan aktiviti tali ayunan di luar negara mahal sehingga mencecah ribuan ringgit.
“Sesiapa yang pernah terjun sekali, pasti mahu cuba lagi kerana keseronokan,” tambahnya.
Harga untuk sekali terjunan adalah RM240 termasuk pembikinan video.










