Emma Suhaimi turun 16kg demi ‘Tersakiti’ - Utusan Malaysia

Emma Suhaimi turun 16kg demi ‘Tersakiti’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Emma Suhaimi sanggup menurunkan berat badan sebanyak 16 kilogram (kg) sebagai persediaan untuk membuka lembaran baharu dalam kerjaya seni menerusi single terbaharu, Tersakiti.

Menurut Emma, dia mengambil masa kira-kira enam bulan untuk melakukan perubahan fizikal kerana mahu tampil dengan imej lebih segar selepas sekian lama tidak muncul dengan karya solo.

“Enam bulan saya buat persediaan untuk Tersakiti. Selepas 16 tahun, takkanlah saya kembali tetapi masih tiada apa-apa yang berbeza dari segi penampilan saya dahulu dengan sekarang.

“Jadi, saya rasa perlu melakukan sesuatu supaya apabila kembali, saya nampak lebih kemas dan berpenampilan baik,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media lagu Tersakiti, pada Jumaat.

Tambah kakak kepada penyanyi, Adira Suhaimi itu, berat badannya pernah mencecah hampir 80kg disebabkan gaya hidup dan pemakanan yang tidak terkawal.

“Saya pernah berdepan dengan ‘body shaming’ dan sebenarnya sudah lali. Kadang-kadang sakit juga apabila orang cakap kita gemuk. Malah, saya juga pernah ditegur oleh bekas kekasih tentang fizikal saya.

“Berat saya ketika itu sudah hampir 80kg. Bukan sebab terlalu gembira atau kecewa, cuma ketika itu saya tidak menjaga pemakanan dan gaya hidup. Makan sahaja,” jelasnya.

Enggan terus berada dalam keadaan sama, Emma mula mengubah corak pemakanan sejak penghujung Mac lalu selain melakukan aktiviti fizikal termasuk mendaki.

“Antara rutin yang saya lakukan adalah dengan menjaga pemakanan. Sarapan memang saya tidak pernah tinggalkan dan saya selalu makan ayam demi memujuk semula selera makan saya.

“Sekurang-kurangnya apabila mengambil sarapan tinggi protein pada waktu pagi, kita akan kurang rasa lapar. Petang pula kalau mahu makan, saya ambil tembikai atau jeruk timun. Saya juga pergi mendaki.

“Saya mula sejak penghujung Mac dan sampai sekarang masih meneruskannya. Saya sudah turun 16kg dan masih ada sasaran yang mahu dicapai. Kalau boleh saya mahu turunkan berat badan sehingga 50kg,” kongsinya.

Mengakui pernah melalui fasa berat badan turun naik sebelum ini, Emma bersyukur apabila usahanya mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan individu di sekelilingnya.

Tersakiti yang dilancarkan pada 14 Ogos lalu merupakan single kemunculan semula Emma selepas sekian lama tidak tampil dengan karya solo.

Lagu balada ciptaan komposer Indonesia, Ilham Baso itu mengangkat kisah luka, kekecewaan dan keberanian melepaskan diri daripada sebuah hubungan yang tidak lagi membawa kebahagiaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×