GUA MUSANG 8 Feb. – Tindakan pantas Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menyelamatkan lapan ekor anak kucing yang terperangkap dalam longkang di kawasan perumahan Taman Mesra, di sini hari ini.
Pegawai APM daerah, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, anak-anak kucing tersebut dipercayai dibuang pemiliknya sebelum terjatuh ke dalam longkang yang dipenuhi air kotor dan hampir lemas.
“Kita menerima laporan daripada orang awam pada pukul 9.10 pagi ini dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian. Kesemua anak kucing yang terperangkap dalam longkang berjaya dikeluarkan satu persatu.
“Selepas menyelamatkan mereka, anggota turut membersihkan haiwan itu sebelum melepaskannya di tempat selamat. Proses itu mengambil masa kira-kira 20 minit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yussalmi, sepanjanh minggu ini sahaja, pihaknya sudah tiga kali melaksanakan tugas menyelamatkan kucing yang terperangkap dalam pelbagai situasi.
“Kita sebagai anggota penyelamat, bukan sahaja bertugas untuk menyelamat nyawa manusia, tetapi juga haiwan dalam apa jua keadaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE










