SEREMBAN 6 Feb. – Seorang anggota polis patah tapak kaki kanan akibat digilis sebuah kereta semasa mengawal lalu lintas di persimpangan lampu isyarat di Jalan Rasah-Port Dickson sempena Op Selamat Tahun Baru Cina di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Koperal Omar Mohd., 51, dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sedang bertugas dengan enam anggota lain di lokasi berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Ibrahim Mohd. Abdul Kadir berkata, tapak kaki anggota polis itu digilis sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Suzuki DMAX yang sedang bergerak dari arah susur masuk Tol Rasah-Port Dickson.
“Ketika kejadian semua anggota itu ditugaskan di lokasi sejak pukul 9.30 pagi bagi melancarkan perjalanan lalu lintas berikutan pertambahan jumlah kenderaan.
“Ketika itu mangsa berada di tengah simpang mengawal lalu lintas. Sebuah Suzuki DMAX dari arah susur masuk Tol Rasah-Port Dickson yang berada di lorong kanan mengubah haluan ke kiri ketika menuju ke lampu isyarat.
“Pemandunya berusia 53 tahun kemudian mengubah semula haluan ke kanan akibat kesesakan dan ketika itulah kaki mangsa telah digilis,” katanya di sini hari ini.
Ibrahim berkata, kejadian itu menyebabkan Suzuki DMAX itu berhenti secara mengejut dan sebuah kereta jenis Proton Saga dari arah belakang merempuhnya.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan anggota polis yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE










