Ambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat tragedi Bukit Kukus - Utusan Malaysia

Ambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat tragedi Bukit Kukus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 14 Feb. – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus khususnya terhadap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris berkata, selain menyenaraihitamkan kontraktor, konsultan dan penyemak bebas tidak ada tindakan lain yang diambil terhadap MBPP yang juga terlibat dalam projek berkenaan.

“CAP ingin tahu apakah tindakan seterusnya yang akan diambil oleh kerajaan negeri terhadap MBPP dan pihak terbabit dalam kejadian itu.

“Kejadian yang meragut sembilan nyawa ini bukan perkara remeh dan tindakan tegas sepatutnya diambil terhadap MBPP dan mereka yang terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Khas Siasatan Projek Jalan Berkembar Bukit Kukus merumuskan bahawa empat pihak didapati bertanggungjawab sepenuhnya di atas kejadian tanah runtuh di tapak projek berkenaan sehingga mengorbankan sembilan mangsa pada 19 Oktober tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Bukit Kukus, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, keempat-empat pihak berkenaan ialah Yuta Maju Sdn. Bhd. (kontraktor); Jurutera Perunding GEA (M). Sdn. Bhd. (konsultan); G&P Profesional Sdn. Bhd. (penyemak bebas) dan MBPP. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×