Amanita agih 2,000 kopi percuma - Utusan Malaysia

Amanita agih 2,000 kopi percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 10 Feb. – Sebanyak 2,000 cawan kopi percuma telah diagihkan kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan Gua Musang ke Kuala Lumpur di sebuah stesen minyak di Bandar Baru, di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintenden Abdullah Daud berkata, program ‘Coffee Break’ itu merupakan program advokasi sempena Op Selamat 14 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Katanya, program itu turut mendapat penglibatan agensi keselamatan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Pemberian kopi percuma yang dibancuh oleh skuad Aman Wanita (Amanita) ini bertujuan untuk memberi tenaga kepada pengguna supaya memandu pulang ke ibu kota secara berhati-hati.

“Pada program ini sebanyak 2,000 cawan diagih kepada kira-kira 700 kenderaan pengguna jalan raya yang ingin pulang ke destinasi masing-masing selepas cuti Tahun Baharu Cina,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika program ‘Coffee Break’ di Bandar Baru di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Sementara itu, Abdullah berkata, sebanyak 926 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di daerah ini bagi tempoh 11 hari Op Selamat 14 sempena Tahun Baru Cina 2019 yang dilancarkan sejak 29 Januari lalu.

Katanya, jumlah saman dikeluarkan itu meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sekali ganda dalam tempoh sama tahun lepas iaitu hanya 408 saman dikeluarkan.

“Hanya satu kematian melibatkan kemalangan di laluan Gua Musang dalam Op Selamat kali ini.

“Pengguna jalan raya  dinasihatkan supaya berhati-hati ketika memandu di kawasan kerap berlaku kemalangan di Gua Musang kerana daerah ini menjadi lokasi panas kemalangan di negeri ini,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN