Amanah berdiri teguh di belakang Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

Amanah berdiri teguh di belakang Dr. Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 19 Feb. – Parti Amanah Negara (Amanah) sentiasa berdiri teguh di belakang Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali gus menafikan dakwaan bahawa terdapat dua parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang mungkin merancang membelot terhadap Perdana Menteri.

Setiausaha Agung Amanah, Mohd. Anuar Mohd. Tahir berkata, dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali dan tidak mungkin akan ada undi tidak percaya terhadap Dr. Mahathir.

Katanya, Pas sengaja cuba mencipta persepsi kononnya dalam kalangan komponen PH bertelagah bagi menutup pelbagai isu yang sedang melanda parti tersebut.

“Saya adalah anggota dalam  Majlis Presiden dan Setiausaha Agung PH dan tidak pernah terdengar khabar-khabar angin seperti itu (undi tidak percaya terhadap Dr. Mahathir).

“Saya pun tidak tahu dari mana Pas mendapat cerita akan berlaku undi tidak percaya kepada Dr. Mahathir. Mereka sengaja nak bermain politik dengan mencipta isu seperti ini untuk menimbulkan kecurigaan, ini taktik lama,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan kononnya terdapat dua parti dalam Pakatan PH mungkin merancang untuk membelot terhadap Dr. Mahathir.

Takiyuddin dalam sidang akhbar kelmarin ketika menjawab kontroversi pertemuan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, persetujuan bertulis parti itu sebenarnya deraf ikrar menyokong Dr. Mahathir jika parti komponen PH memulakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Mohd. Anuar yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, pemimpin Pas diketahui sememangnya sering memberi kenyataan bercanggah.

“Hari ini cakap lain, tidak sampai beberapa jam pemimpin lain pula cakap lain. Saya berada dalam Pas sebelum ini, saya tahu perkara ini (kenyataan bercanggah),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN