A. Samad enggan jawab kebebasan berkarya - Utusan Malaysia

A. Samad enggan jawab kebebasan berkarya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said hari ini enggan menjawab soalan yang ditanyakan oleh seorang penonton di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini.

Ketika sesi pertanyaan soalan dalam program Sasterawan Negara Berkongsi Cerita anjuran Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem Aswara itu, seorang audiens bertanyakan soalan berhubung kebebasan berkarya dalam zaman Malaysia Baharu.  

Namun, sosok tubuh mencecah usia 87 tahun itu mengangkat kedua-dua tangan isyarat tidak mahu menjawab soalan diajukan itu.  

Terdahulu,  semasa sesi berkongsi cerita itu,  setiap ahli panel diberikan masa selama 20 minit bagi berkongsi pengalaman masing-masing dalam bidang kesusasteraan.  

A. Samad menceritakan pengalamannya semasa himpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu sehingga menjadi individu yang tidak disenangi oleh kerajaan ketika itu.  

“Hidup saya penuh warna-warni dan sempat melalui zaman darurat, pendudukan Jepun,  peristiwa pertelagahan kaum dan percanggahan masyarakat dunia yang selalu resah.  

“Contohnya,  semasa Bersih saya menjadi orang yang disenangi mahupun tidak disenangi oleh pemimpin dan masyarakat.  Namun,  Alhamdulillah segalanya sudah berlalu dan saya sempat menulis 200 puisi Bersih masa itu yang akan menjadi khazanah berguna kepada generasi akan datang.  

“Sebagai penulis dan penyair tugas kita bukan sekadar menulis tetapi membimbing masyarakat,” katanya.

Yang turut hadir ialah Sasterawan Negara,  Prof. Dr. Muhammad Salleh dan Datuk Dr. Anwar Ridhwan. 

Lantaran sikap mendiamkan diri penyair yang sudah menghasilkan lebih 60 buku itu,  
timbul tanda tanya adakah pengkarya seni kreatif hari ini masih bebas untuk menghasilkan sebarang karya yang boleh mengkritik kerajaan? -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN