SHAH ALAM – Seramai 8,836 ketua isi rumah di Selangor layak mendapat rebat elektrik sebanyak RM40 setiap bulan dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pemberian itu berikutan mereka tersenarai dan disahkan sebagai miskin tegar dan miskin dalam sistem E-Kasih.
Katanya, rebat itu adalah berdasarkan pelaksanaan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan tidak melibatkan sebarang peruntukkan daripada kerajaan negeri.
“Daripada jumlah keseluruhan 8,836 itu didapati seramai 6,416 tiada akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) disebabkan menyewa atau mungkin menggunakan kediaman orang lain.
“Jadi, kita kerajaan negeri membantu mereka menerusi pusat khidmat rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menukar akaun TNB itu supaya mendapat peluang dalam rebat ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini sebentar tadi.
Menurut beliau, selebihnya pecahan iaitu 2,262 adalah tambahan penerima baharu dalam data E-Kasih pada tahun ini.
Dalam perkembangan berlainan, Amirudin turut menjelaskan pemberian air percuma 25 meter padu sebulan kepada golongan B40 secara berperingkat akan bermula pada Mei atau Jun ini.
“Perancangan berkenaan perkara itu masih dalam perbincangan dan akan dimaklumkan pada Sidang Dewan DUN, Mac ini.
“Kita ingin memastikan supaya pengumuman (air percuma) itu nanti tidak akan memberikan kesan atau kejutan kepada penerima,” katanya. – K! ONLINE










