HULU LANGAT 26 Feb. – Seramai 686 anggota keselamatan daripada 858 pengundi awal berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih telah menjalankan tanggungjawab masing-masing sebaik sahaja dua pusat mengundi ditutup pada pukul 5 petang tadi.
Jurucakap PRK di Ibu pejabat Polis (IPD) Daerah Kajang, Superintenden Mohd. Sabri Abdullah memberitahu seramai 584 daripada 761 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) telah keluar mengundi di Dewan Serbaguna Batalion 4 PGA Semenyih.
Jelas beliau yang juga Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, 92 daripada 97 anggota polis pula hadir mengundi di IPD Kajang sehingga pusat mengundi tersebut ditutup pukul 2 petang tadi.
“Mengikut semakan, baki lima anggota yang tidak keluar mengundi melibatkan seorang terpaksa mengambil cuti kecemasan, tiga lagi terlibat dengan tugasan di luar kontinjen manakala seorang lagi telah ditamatkan perkhidmatan.
“Dalam pada itu, kita akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai ketidakhadiran anggota yang sepatutnya turun mengundi di PGA Semenyih. Keseluruhannya, proses pengundian awal hari ini berjalan lancar,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.
Seramai 858 pengundi awal sepatutnya keluar mengundi di dua pusat mengundi hari ini melibatkan 761 anggota keselamatan dan pasangan mengundi di Dewan Serbaguna Batalion 4 PGA Semenyih manakala 97 anggota lagi di IPD Kajang. – UTUSAN ONLINE










