60 dikhuatiri maut ketika gali emas - Utusan Malaysia

60 dikhuatiri maut ketika gali emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KADOMA, Zimbabwe – Sekurang-kurangnya 60 pelombong emas haram dikhuatiri maut di Zimbabwe kelmarin selepas air membanjiri dua telaga yang tidak digunakan di sebuah bandar perlombongan tenggara Harare, menurut seorang menteri kerajaan.

Dianggarkan antara 60 hingga 70 pelombong kecil-kecilan berada di dalam kedua-dua telaga itu ketika banjir berlaku pada Selasa lalu, kata Menteri Kerajaan Tempatan, July Moyo.

Beliau mengesahkan Presiden Emmerson Mnangagwa telah mengisytiharkan darurat berhubung kejadian itu.

Seorang jurutera perlombongan kerajaan, Michael Munodawafa, memberitahu agensi berita AFP bahawa harapan untuk menemui mangsa hidup adalah amat tipis selepas banjir berlaku pada malam Selasa hingga pagi Rabu lalu.

Moyo menyatakan usaha pantas dilakukan untuk mengepam keluar air dari dalam telaga sebelum usaha mengeluarkan mangsa-mangsa dilakukan.

Kerajaan juga membuat rayuan bagi meminta dana sebanyak AS$200,000 (RM817,000) untuk digunakan bagi mengepam air keluar, memberi makan kepada keluarga mangsa dan pasukan penyelamat, pengangkutan dan urusan pengebumian mangsa-mangsa.

“Berdasarkan tahap keburukan bencana, kami memohon agar orang ramai, pihak pemaju, rakan-rakan dan syarikat korporat global tampil menghulurkan bantuan wang dan lain-lain,” katanya

Jurucakap firma RioZim, Wilson Gwatiringa menyatakan te­laga lombong itu dibanjiri air selepas dinding sebuah empa­ngan pecah disebabkan hujan lebat pada malam Selasa lalu. RioZim memiliki salah satu telaga lombong yang tidak digunakan lagi.

Pelombong emas kecil-kecilan lazimnya membuat penggalian di tapak-tapak lombong peninggalan syarikat-syarikat korporat besar dan aktiviti yang tidak diharamkan kerajaan Zimbabwe dan ia merupakan sumber pendapatan sebahagian besar penduduk tempatan.

Menurut satu kajian di Parlimen, ­kumpulan pelombong emas kecil-kecilan mungkin menyumbang lebih separuh daripada 24.8 tan emas Zimbabwe pada tahun 2017. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN