JOHOR BAHRU 28 Feb. – Belon udara panas akan menjadi antara tarikan utama dalam Fiesta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Dataran Bandaraya Johor Bahru bermula hari ini.
Pengunjung berpeluang menaiki belon panas setinggi 60 kaki pada sebelah malam Jumaat dan Sabtu pada harga RM30 bagi dewasa dan percuma untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.
Selain itu pelbagai aktiviti menarik disajikan untuk seisi keluarga antaranya kejohanan e-sukan Piala Datuk Bandar, pameran mini zoo, acara sukan tradisional dan sukaneka, pameran jubli perak serta kuiz dengan terkumpul berjumlah RM10,000 kepada pengunjung bertuah.
Pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan konsert Festivities@IIBD menampilkan artis ternama seperti Datuk M.Nasir, Ella, Shahrol Shiro dan ramai lagi pada malam Sabtu ini.
Fiesta selama empat hari itu adalah sempena sambutan Jubli Perak MBJB 1994-2019 dan dijangka 50,000 pengunjung bakal membanjiri dataran tersebut.
Perasmiannya disempurnakan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Dr. Mazlan Yusoff sebentar tadi.
Yang turut hadir Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A. Rahman, Setiausaha MBJB, Abdul Malik Ismail dan Timbalan Setiausaha MBJB, Ir. Nazatul Shima Mohamad.
Selain itu turut diadakan program Bual Bicara: Apa Kata Islam, Dataran Recreational Night, pertandingan mewarna dan bercerita, reka cipta dan inovasi daripada bahan terpakai, pameran kereta dan motosikal klasik dan persembahan kebudayaan dan orkestra MBJB.
Bersempena penganjuran program itu juga, MBJB memberikan diskaun istimewa iaitu potongan 70 peratus untuk semua kompaun MBJB kecuali kompaun berstatus operasi penguatkuasaan.
Semua warga bandar raya ini dijemput hadir beramai-ramai ke Feista MBJB kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berlangsung dan berpeluang memenangi hadiah yang ditawarkan dan maklumat aktiviti boleh diperoleh dalam laman sesawang MBJB. – UTUSAN ONLINE











