15 permohonan perkahwinan umur dikemukakan di Kelantan - Utusan Malaysia

15 permohonan perkahwinan umur dikemukakan di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 14 Feb. – Sebanyak 15 permohonan perkahwinan bawah umur dikemukakan di mahkamah syariah negeri ini bagi tempoh sepanjang 2018 sehingga awal tahun ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah negeri, Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty berkata, daripada jumlah itu hanya 10 permohonan yang diluluskan dan selebihnya ditolak kerana sebab tertentu termasuk tidak hadir ke mahkamah.

Beliau berkata, walaupun jumlah ini nampak kecil namun perkahwinan bawah umur adalah perkara yang perlu dicegah lebih awal kerana pelbagai masalah yang tidak mampu ditangani pasangan muda.

“Kesemua pemohon berusia 15 tahun ke atas dan rata-ratanya tercicir daripada alam persekolahan.

“Kita tidak galak kahwin muda kerana pelbagai situasi akan timbul, bagaimana nak kawal dan urus rumahtangga serta ekonomi, individu juga sukar berkembang dari sudut pendidikan.

“Kalau belajar setakat Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR), mereka biasanya kekal begitu seumur hidup berbeza jika kita benarkan berkahwin selepas umur 18 tahun sekurang-kurangnya sudah ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi salah seorang ahli panel Forum Perdana Perkahwinan Dalam Kalangan Kanak-kanak – Apa Kata Pakar anjuran Persatuan Kaunselor Muslim Kelantan (PKMK) di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Dua lagi ahli panel lain adalah Ketua Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM Prof. Madya Dr. Rosediani Muhamad dan Pegawai Fatwa, Jabatan Mufti negeri, Naim Md. Ghazali.

Menurut Abu Bakar, sepanjang tahun 2001 hingga 2017 pula lebih 2,000 permohonan daripada 2,266 permohonan perkahwinan bawah umur pula telah diluluskan di negeri ini.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, kerajaan di Arab Saudi pada Januari lalu sudah mengharamkan perkahwinan pasangan berumur 15 tahun ke bawah manakala kebenaran mahkamah diperlukan bagi pasangan berumur 18 tahun ke bawah.

“Kita pula mengikut enakmen masih lagi memberi ruang bagi yang berumur 15 tahun bawah untuk berkahwin dengan kebenaran mahkamah, maknanya kalau berumur 10 tahun pun boleh.

“Kita serahkan kepada pemerintah jika mereka melihat ada maslahah untuk melarang terus perkahwinan kurang 15 tahun kerana kerajaan bila-bila masa boleh buat undang-undang, kalau larangan rokok pun kerajaan boleh buat, peraturan jalan raya larang lori semasa Tahun Baharu Cina pun boleh apatah lagi pelaksanaan perkara ini,” katanya.

Untuk rekod, Seksyen 8 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 2002 menyebut tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika hakim syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN