RAWANG – 10 buah kenderaan serta sebuah motosikal rosak selepas sebuah lori rosak mengundur secara tiba-tiba di Kilometer 16 Jalan Kuala Lumpur- Ipoh menghala ke Rawang petang tadi.
Kejadian pukul 3.10 petang itu membabitkan sebuah lori membawa muatan batu blok, sebuah motosikal, sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Unser, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Subaru XV, tiga buah kereta jenis Toyota Vios, serta masing-masing satu kereta jenis Nissan Almera, Sentra, Toyota Camry, Honda Accord, City dan Perodua Myvi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, hasil siasatan mendapati sebuah lori yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun mengalami kerosakan ketika melalui laluan berbukit di kawasan berkenaan.
“Pemandu berkenaan yang berada di lorong kiri bertindak memberhentikan kenderaannya sebelum turun mencari batu untuk dijadikan penahan pada tayar ekoran bimbang lori mengundur memandangkan keadaan jalan berbukit.
“Semasa pemandu itu mencari batu, tiba-tiba lori tersebut mengundur sekali gus menyebabkan kereta yang datang dari arah belakang gagal memberhentikan kenderaan lalu berlanggar sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan akhbar sebentar tadi.
Menurutnya lagi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, namun seorang penunggang motosikal mengalami luka ringan pada dahi.
“Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu mengalami kerosakan dan pemandu kenderaan masing-masing sudah membuat laporan berhubung kejadian tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – K! ONLINE










