TEBING BARAT 28 Jan. – Kira-kira 1,000 penduduk Badwi Palestin berdepan ancaman kehilangan tempat tinggal selepas Israel bercadang meluaskan pembinaan lebuh raya baharu di wilayah Naqab dekat sini.
Al-Jazeera melaporkan, pembinaan laluan bagi seksyen baharu lebuh raya yang dikenali sebagai Road 6 sebelum ini menyebabkan kira-kira 100 keluarga penduduk Badwi menerima nasib sama.
Keadaan diburukkan lagi dengan ‘ancaman’ Menteri Pertanian Israel, Uri Ariel pada Disember tahun lalu untuk menggunakan kesempatan tersebut bagi menghalau kira-kira 900 lagi keluarga penduduk Badwi.
“Israel komited mentadbir Naqab dan pembinaan lebuh raya itu adalah peluang merealisasikan impian kami,” katanya.
Pihak Berkuasa Pembangunan Badwi, badan yang berperanan dalam isu pengusiran serta memusnahkan penempatan penduduk menegaskan pembinaan lebuh raya itu adalah signifikan menjadikan Naqab sebagai wilayah yang lebih teratur.
Usaha Zionis ‘menghapuskan penduduk Badwi’ sudah lama dilakukan sejak tercetusnya Hari Nakba yang menyaksikan mereka diusir dari tanah air sendiri.
NASIB BADWI VS YAHUDI
Beberapa kumpulan hak asasi manusia menyatakan nasib penduduk Badwi terjejas selepas Israel bercadang membangunkan pelan pembinaan lebuh raya tersebut.
Seorang arkitek yang juga ahli kumpulan hak asasi manusia, Dafna Saporta berkata, sebanyak 350 buah kediaman akan dirobohkan bagi membolehkan pembinaan lebuh raya itu dilakukan.
Selain itu, sebanyak 60 jalan lain pula akan disekat atau rosak akibat projek berkenaan, sekali gus memisahkan penduduk tempatan dengan banyak keluarga.
Isu penduduk Badwi yang kehilangan tempat tinggal dilihat tidak mendapat perhatian banyak pihak terutamanya komuniti antarabangsa seperti konflik penempatan haram penduduk Israel di wilayah Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.
Bagaimanapun, beberapa isu berkaitan penduduk Badwi masih mendapat perhatian, contohnya cadangan merobohkan keseluruhan perkampungan Umm al-Hiran oleh Israel mendapat kritikan antarabangsa.
Pada 2011 hingga 2013, usaha pihak berkuasa Israel untuk melakukan pengusiran penduduk Badwi secara besar-besaran juga tidak berjaya apabila mereka berdepan dengan pelbagai kekangan termasuk kebimbangan komuniti antarabangsa.
Pada 2017, Forum Bersama untuk Kesamaan Sivil Naqab melaporkan sebanyak 2,220 kediaman penduduk Badwi dimusnahkan, selain mereka terpaksa menggunakan lebih satu per tiga struktur rumah yang rosak sebagai tempat tinggal.
USAHA HAPUS BADWI PALESTIN
Sementara itu, seorang peguam, Myssana Morany yang merupakan Pengelola Unit Hak Perancangan dan Tanah Adalah memberitahu, usaha Zionis untuk menghapuskan penduduk Badwi tidak akan berhenti, malah mereka mencuba pelbagai kaedah bagi memastikan perkara itu benar-benar berlaku.
Sebagai contoh katanya, Israel sudah merancang beberapa pelan pembangunan struktur baharu berskala besar termasuk landasan kereta api yang secara jelas akan meranapkan tanah kira-kira 1,400 penduduk Badwi di Rahma.
Selain itu, lombong fosfat juga bakal menyaksikan sekurang-kurangnya 1,000 penduduk Badwi kehilangan tempat tinggal, malah tentera Israel mula menjadikan Naqab seperti pangkalan ketenteraan tanpa menghiraukan populasi yang wujud di wilayah tersebut.
“Apa yang kami boleh lakukan ketika ini adalah dengan mendapatkan pengiktirafan bagi semua perkampungan penduduk Badwi yang terletak berhampiran kawasan pembinaan lebuh raya kerana langkah itu bagi memastikan mereka tidak kehilangan tempat tinggal,” katanya.
Namun, seorang aktivis menentang Israel yang dikenali, Abu Ais memaklumkan, tiada apa yang boleh dilakukan dengan hanya bergantung kepada undang-undang Israel.
Katanya, cara terbaik untuk berdepan dengan masalah itu adalah dengan meningkatkan kesedaran, mengukuhkan perpaduan serta identiti penduduk Palestin dan mengadakan tunjuk perasaan.










