‘Yadim bakal menyimpang’ - Utusan Malaysia

‘Yadim bakal menyimpang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 30 Jan. – Pas menyifatkan penstrukturan baharu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan membawa badan amanah itu menyimpang jauh daripada matlamat asal penubuhannya pada tahun 1974.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan berkata, pi­hak­nya meragui da­sar dan pendekatan baharu Ya­dim akan mencapai matlamat penubuhannya untuk menyelaraskan kegiatan badan dakwah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan Islam.

Beliau berkata, sebaliknya Yadim akan berubah menjadi entiti untuk kepentingan politik PH berdasarkan komposisi Ahli-ahli Lembaga badan itu yang kini dibarisi sebahagian besarnya oleh kalangan pemimpin parti-parti PH termasuk daripada DAP.

“Bagi Pas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Sheikh ‘Umar Ali, sebagai seorang Ahli Lembaga Yadim memperlihatkan Kerajaan PH akan membiarkan Yadim turut dicorakkan oleh DAP walaupun DAP selama ini tidak pernah bersetuju dengan sebarang dasar Islam walaupun tidak langsung melibatkan rakyat bukan Islam.

“Ini termasuklah sikap DAP terhadap peruntukan-peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan Islam dan institusi agama Islam, usa­ha memperkasakan Mah­kamah Syariah dan pelaksanaan Syariat Islam di negara ini,” katanya dalam kenyata­an di sini hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Mujahid Yusof bahawa pelantikan Sheikh ‘Umar adalah sesuai kerana kelayakannya yang memiliki ijazah bidang Usuluddin amatlah dang­­kal kerana sebagai seorang ADUN DAP beliau terikat kepada dasar-dasar DAP, bukannya kepada ilmu yang dipelajarinya.

“Pas merasakan ramai lagi to­koh agama yang lebih berwi­bawa dari segi ilmu dan mendapat keyakinan umat Islam berbanding beliau, walaupun bukan keturunan ‘Sheikh’, boleh dilantik menduduki Lembaga Yadim,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN