Wujudkan peluang ekonomi di Kedah, ada daerah masih dibelenggu kemiskinan - Utusan Malaysia

Wujudkan peluang ekonomi di Kedah, ada daerah masih dibelenggu kemiskinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 21 Jan. – Saranan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah supaya Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerap turun padang melihat kehidupan rakyat wajar diberi perhatian serius oleh pimpinan kerajaan negeri ini.

Antaranya penduduk di Baling yang sehingga kini masih dibelenggu dengan isu kemiskinan, malah ada antara rakyat di situ yang diibaratkan hidup ‘kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling (Perkeba), Jhangir Khan Kathem Khan berkata, kerajaan negeri perlu mewujudkan peluang ekonomi yang lebih baik kepada penduduk di kawasan terlibat.

Kata beliau, hanya cara itu, penduduk di kawasan yang terlibat mampu keluar daripada kemiskinan.

“Saranan Tuanku agar kerajaan atau Menteri Besar turun padang sendiri melihat kehidupan rakyat cukup baik kerana kadang-kala maklumat yang diterima daripada pemimpin akar umbi tidak tepat.

“Dalam erti kata lain, baginda mahukan rakyat hidup selesa dan diberi peluang untuk meningkatkan taraf hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Sallehuddin dalam wawancara yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini yang antaranya mahu melihat perubahan agar rakyat di negeri itu tidak lagi susah pada zaman baginda.

MOHAMAD YUSRIZAL YUSOFF
MOHAMAD YUSRIZAL YUSOFF 

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berharap kerajaan negeri memberi perhatian terhadap tanah-tanah terbiar sebagaimana disuarakan baginda.

“Sekiranya tanah-tanah ini dimanfaatkan dengan pertanian, sumber makanan utama dalam negara bukan sahaja akan mencukupi, malah rakyat berpeluang mendapat barangan keperluan asas tempatan dengan harga yang lebih rendah.

“Amat sedih apabila ada tanah-tanah dibiarkan begitu sahaja atau didirikan bangunan yang akhirnya terbiar dan tidak berpenghuni kerana rakyat tidak mampu memilikinya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Razeff Shardin Mat Rejab berpendapat, kerajaan perlu memberi penekanan terhadap bidang pendidikan supaya generasi akan datang mampu mengubah nasib keluarga masing-masing kelak.

RAZEFF SHARDIN MAT REJAB
RAZEFF SHARDIN MAT REJAB 

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis Belia Daerah Yan berharap segala aktiviti ekonomi termasuk pertanian moden di negeri ini lebih banyak melibatkan belia dengan dibimbing golongan yang lebih berpengalaman.

“Begitu juga dalam industri pelancongan, bangunkan kawasan-kawasan berpotensi seperti Tuanku titahkan, antaranya pulau-pulau berdekatan Tanjung Dawai yang perlu diteroka kerana secara tidak langsung dapat membuka peluang kepada anak-anak muda bekerja dan mengelak penghijrahan ke bandar besar.

“Nelayan pun boleh pelbagaikan sumber pendapatan mereka untuk membawa pelancong mengeliligi pulau itu jika ada tarikan. Peranan ini perlu dimainkan oleh kerajaan negeri dan agensi berkaitan kerajaan (GLC) untuk merealisasikan hasrat Sultan Kedah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN