Wan Azizah ziarah keluarga Allahyarham ADUN Semenyih - Utusan Malaysia

Wan Azizah ziarah keluarga Allahyarham ADUN Semenyih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menziarahi keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor di kediamannya di Kampung Pasir di sini petang ini.

Wan Azizah bertemu dan menyampaikan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Basirah Sardiq Muhammad, 49, selain turut menyampaikan sumbangan.

“Kita kehilangan lagi seorang ADUN di Selangor daripada parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam usia muda. Saya dengar Yang Berhormat (Allahyarham) seorang yang gigih bekerja dan bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Saya berharap isteri dan keluarga Allahyarham bersabar dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama para solihin apatah lagi meninggal dunia pada hari Jumaat,” katanya kepada Bernama di sini.

Bakhtiar, 57 meninggal dunia di Hospital Kajang pada 4.45 pagi tadi akibat serangan jantung.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir di sini, 3 petang tadi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu, Bakhtiar memenangi kerusi DUN Semenyih dengan mengalahkan tiga calon lain iaitu Johan Abd Aziz (Barisan Nasional), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS)  dan S. Arutchelvan (PSM). – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN