[VIDEO] Yapeim bantu murid miskin beli peralatan sekolah - Utusan Malaysia

[VIDEO] Yapeim bantu murid miskin beli peralatan sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH 6 Jan. – Lebih 100 murid miskin Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku, dekat sini, menerima sumbangan wang tunai untuk membeli peralatan sekolah oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim) di masjid al-Husna, dekat sini, malam tadi.

Pengarah Program Kebajikan Masjid itu, Wan Md. Iskandar Wan Deraman berkata, jumlah peruntukan yang disalurkan itu berdasarkan senarai pembelian peralatan yang dibelanjakan ibu bapa di kedai sekolah berkenaan. 

Menurutnya, sumbangan agensi kerajaan Pusat itu akan meringankan bebanan ibu bapa yang kebanyakannya nelayan miskin dan ibu tunggal. 

“Sejumlah RM3,180 diagihkan kepada murid miskin yang dipilih oleh pengurusan sekolah berkenaan dan Yapiem juga turut meluluskan peruntukan sebanyak RM7, 000 bagi pembangunan tambahan masjid berkenaan,” katanya kepada Utusan Online di sini malam tadi. 

Sumbangan kebajikan itu disampaikan Guru Besar sekolah berkenaan, Faxrurazi Nasir selepas solat Maghrib di masjid itu yang turut dihadiri ibu bapa murid yang terlibat. 

Sementara itu, Wan Md. Iskandar berkata, program kebajikan  seumpama itu akan dilaksanakan secara berterusan dalam usaha meningkatkan fungsi masjid sebagai institusi masyarakat selain tempat untuk beribadat dan pusat ilmu. 

Menurutnya, Masjid al-Husna adalah masjid lama di Pekan Cherang Ruku, dekat sini, yang berusia hampir 200 tahun dibangunkan semula dengan keringat dan sumbangan ihsan dermawan sebagai masjid yang memiliki sejarahnya yang tersendiri kepada penduduk tempatan.

Pengurusan masjid berkenaan amat mengalu-alukan sumbangan derma bagi membolehkan pelbagai aktiviti agama dan kemasyarakatan dapat dilaksanakan secara berterusan. 

Sumbangan ikhlas boleh disalurkan menerusi nombor akaun 03090010051955 Bank Islam Malaysia Berhad atas nama masjid al-Husna atau hubungi 0139977102 untuk makluman pengurusan masjid itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN