KUALA NERUS 30 Jan. – Rengekan seorang bayi lelaki berusia setahun enam bulan sejak tiga hari lalu kerana tidak mahu berpisah dengan ibunya yang perlu keluar bekerja di kedai makan berdekatan merupakan petanda dia akan pergi selamanya.
Video oleh AZLAN BAHRUM
Norazizah Ismail, 46, berkata, dalam tempoh tersebut juga Muhammad Alif Ridwan Wahab tiba-tiba gemar ke bilik air bersendirian tetapi, keceriaan anak bongsunya membuatkan dia tidak terlalu memikirkan tentang perubahan sikap berbanding kebiasaan itu.
Katanya, selepas selesai menjemur kain pagi semalam dia terlelap di hadapan televisyen di ruang tamu bersama Muhammad Alif Ridwan, turut berada di rumahnya di Kampung Bukit Tunggal ketika itu adalah suami dan empat anak lain.
“Kira-kira pukul 10 pagi, anak perempuan saya tengok adiknya ada dalam bilik air kemudian ditidurkan semula di sisi saya. Saya tidak sangka kali ketiga terbangun, dia pergi lagi ke sana.
“Dalam pukul 12 tengah hari, suami tanya ‘adik wan’ mana, saya yang baru tersedar kemudian ke dapur untuk memasak nasi dan ketika lalu di bilik air saya nampak dia dalam baldi. Masa itu keadaannya sudah lembik dan saya terus bawa ke klinik dengan menaiki motosikal ditunggang anak sulung,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di rumah keluarganya di Gong Pak Damat, Taman Desa Jaya, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











