[VIDEO] Penganggur dituduh miliki 3,025 paket rokok seludup - Utusan Malaysia

[VIDEO] Penganggur dituduh miliki 3,025 paket rokok seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASAH 25 Jan. – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 3,025 paket rokok seludup pelbagai jenis, Jumaat lalu.

Tertuduh, Ruzlan Hassan, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mahyun Yusof.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki rokok bernilai RM6,825 yang dilarang import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 di sebuah premis kediaman di No. 121, Taman Jasmin Indah 7, Senawang dekat sini pada pukul 7 petang, 18 Januari lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(v)(aa) akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan denda sehingga 20 kali ganda nilai rampasan atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor, Mohd. Nafizi Ramli yang mengendalikan pendakwaan menawarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh.

Ruzlan dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang rendah kerana perlu menanggung ibu yang uzur dan tiga orang anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM7,500 dan sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Februari depan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×