[VIDEO] 'Mufti pembohong, pengecut' - Utusan Malaysia

[VIDEO] ‘Mufti pembohong, pengecut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 4 Jan. – Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dianggap pembohong dan pengecut kerana tidak menyatakan punca sebenar seramai 25 orang imam dipecat di seluruh negeri ini pada Selasa lalu.

ZAINOL ABIDIN AHMAD
ZAINOL ABIDIN AHMAD 

Perkara itu dinyatakan seramai 150 orang ahli jemaah Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi di sini, yang berhimpun secara aman bagi membantah pemecatan imam di masjid itu, selepas solat Jumaat hari ini.

Dalam perhimpunan itu, mereka turut membawa kain rentang tertulis antaranya ‘Kami membantah penyingkiran Imam Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Guar Syed Alwi’ dan ‘Pecat mufti dan bukannya pecat imam’.

Jurucakap kumpulan itu, Zainol Abidin Ahmad, 69, berkata, mereka mencabar Mohd. Asri tampil dan memberi sebab dengan jelas punca imam-imam berkenaan dipecat dan bukannya berselindung di sebalik Istana.

Katanya, alasan diberikan Mohd. Asri dalam ceramahnya semalam, bahawa imam-imam berkenaan sudah berusia, suka berpolitik dan tidak berdisiplin tidak boleh diterima sama sekali.

“Ini kerana ada imam di kawasan lain yang berusia 70-an dan 80-an tetapi masih dikekalkan, malah Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) juga berusia 94 tahun dan masih boleh bekerja.

“Sila nyatakan dengan jelas bahawa imam-imam ini dipecat adalah kerana mereka mengamalkan bacaan bismillah secara jelas sebelum al-fatihah, membaca qunut pada solat subuh, membaca Yasin pada malam Jumaat serta berzikir dan membaca doa kuat selepas solat fardhu,” katanya ketika ditemui.


Video oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Semalam, tular sekeping surat dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JHEAIPs) berhubung pemecatan seramai 25 orang imam kariah di negeri ini manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan.

Mohd. Asri kemudian menjelaskan penamatan jawatan itu adalah untuk memberi laluan kepada golongan muda.

Dalam pada ituz Zainol Abidin mendedahkan bahawa imam-imam yang terlibat sebenarnya telah dipanggil JHEAIPs bulan lalu, untuk memberi penjelasan tentang amalan di luar kebiasaan di negeri itu, yang mereka lakukan.

Dakwanya, imam-imam berkenaan kemudian menegaskan bahawa mereka akan meneruskan amalan dilakukan sehinggalah menyebabkan surat pemecatan jawatan dikeluarkan pada 31 Disember lalu yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Tambah beliau lagi, imam satu di Masjid Saidina Umar di situ, bukan sahaja disukai oleh lima kariah penempatan di kawasan berdekatan, malah pernah memenangi empat anugerah dalam pelbagai bidang daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selama 22 tahun berkhidmat.

“Dalam hal ini, imam satu masjid kami (Masjid Saidina Umar) yang berusia 64 tahun dipecat manakala imam dua pula ditukarkan ke kariah lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Wari Kiew berkata, sebanyak sembilan buah masjid di daerah itu mengadakan perhimpunan aman selepas solat Jumaat tetapi kesemuanya berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×